
Selasa, 06-07-2021 – Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) mengatakan bahawa pihak berkuasa Israel telah merobohkan atau merampas 24 buah binaan Palestin, kebanyakannya kediaman, dalam tempoh dua minggu di wilayah yang dijajah di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Dalam laporan yang dikeluarkan setiap dua minggu pada hari Jumaat mengenai pencabulan Israel, OCHA menjelaskan bahawa tindakan meroboh telah dilakukan dalam tempoh masa 15 – 28 Mac 2021 dengan alasan pemilik tidak mempunyai permit membina bangunan yang dikeluarkan oleh Israel.
Perobohan itu menyebabkan 23 orang terpaksa berpindah, termasuk 11 kanak-kanak, dan turut menjejaskan lebih dari 1,200 orang, menurut laporan tersebut.
Sebahagian besar dari mereka yang terjejas oleh perobohan itu berada di kawasan Masafer Yatta al-Khalil, di mana pada 23 Jun lalu pihak rejim Zionis telah memusnahkan untuk kali kedua tiga jalan raya dan saluran paip air utama yang memberi kemudahan kepada beberapa komuniti Palestin. Kempen meroboh sebelumnya adalah pada 9 Jun, tetapi jalan dan saluran paip terlibat telah diperbaiki oleh penduduk tempatan.
Secara keseluruhan, 16 buah binaan yang musnah dan 20 orang yang terpaksa berpindah berada di Kawasan C di Tebing Barat, dan selebihnya berada di Baitulmaqdis timur, OCHA melaporkan.
Dalam konteks lain, OCHA menyatakan dalam laporan yang sama bahawa pasukan Israel pada 16 Jun telah membunuh dua orang rakyat Palestin, seorang lelaki dan seorang wanita, dalam kejadian berasingan di Tebing Barat.
Semasa tunjuk perasaan Palestin pada hari tersebut yang menentang penubuhan pos penempatan Yahudi berhampiran bandar Beita di Nablus, pasukan Israel menembak dan membunuh seorang budak lelaki Palestin berusia 16 tahun. Sejak pos ini didirikan pada awal Mei, pasukan Israel telah menembak dan membunuh lima orang Palestin dengan peluru hidup semasa tunjuk perasaan di Beita.
Pada hari yang sama, seorang wanita Palestin berusia 29 tahun, yang menurut Israel cuba melanggar sekumpulan askar dengan sebuah kenderaan dan kemudiannya mengacukan pisau, ditembak dan dibunuh berhampiran bandar Hizma di timur Baitulmaqdis.
Pasukan Israel juga mencederakan sekurang-kurangnya 1.075 penduduk Palestin, termasuk 238 kanak-kanak, di seluruh Tebing Barat. 790 daripadanya, termasuk 237 kanak-kanak, cedera semasa tunjuk perasaan harian di Beita, 78 di Baitulmaqdis timur, 77 di Kafr Qaddum (Qalqilya), 74 di al Mughayyir (Ramallah) dan selebihnya di lokasi-lokasi lain. Enam dari mereka yang cedera terkena peluru hidup dan 245, termasuk 47 kanak-kanak, terkena peluru getah, menurut laporan itu.
Dalam tempoh pelaporan, pasukan Israel melakukan 144 operasi mencari dan menangkap, serta telah menahan 180 penduduk Palestin, termasuk tujuh kanak-kanak, di seluruh Tebing Barat. 49 operasi dilakukan di Nablus, 29 di al-Khalil, 20 di Baitulmaqdis dan selebihnya di lain-lain wilayah. 45 dari mereka yang ditangkap berada di al-Khalil dan selebihnya di kawasan lain di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Melaporkan mengenai jenayah yang dilakukan oleh para peneroka, laporan tersebut memberitahu bahawa peneroka Yahudi telah mencederakan sekurang-kurangnya sembilan orang penduduk Palestin, termasuk empat gadis yang disembur lada di kejiranan Sheikh Jarrah di timur Baitulmaqdis – di mana seorang wanita lain juga telah diserang dengan semburan lada dalam kejadian yang berasingan.
Di at-Tuwani (al-Khalil), para peneroka telah mencederakan dua wanita dengan menggunakan batu, termasuk seorang wanita kurang upaya berusia 73 tahun. Dua orang penduduk Palestin lain diserang dan cedera dalam insiden berasingan di al-Khalil. Dalam dua kejadian lain, para peneroka menyerang penduduk Palestin di al-Mughayyir, Ramallah. Dalam kedua-dua insiden tersebut, pasukan Israel telah campur tangan, lantas mencederakan 74 orang Palestin (yang termasuk dalam maklumat di atas mengenai kecederaan yang disebabkan oleh pasukan Israel).
Dalam beberapa insiden lain di Tebing Barat, pelaku yang dipercayai adalah peneroka Yahudi telah merosakkan kenderaan milik penduduk Palestin, lebih dua ratus pokok, sistem air, struktur pertanian, bengkel, peralatan elektrik, bahan binaan dan harta benda lain.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul