
Jumaat, 13-08-2021 – Pada hari Isnin malam dan pada waktu subuh hari Selasa, rejim Zionis Israel telah melancarkan kempen penangkapan dan serbuan di pelbagai kawasan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, di mana pertempuran telah berlaku.
Sumber tempatan melaporkan bahawa rejim Zionis menyerbu bandar Burkin, di barat daya Jenin, dan menyerang beberapa kawasan kejiranan, di mana serangan tersebut telah menerima tentangan daripada para pemuda tempatan.
Konfrontasi ganas bersenjata berlaku antara pemuda-pemuda itu dan tentera Zionis. Pertembungan meletus di Deir al-Ghosoun, utara Tulkarem, antara pemuda dan tentera Zionis yang melepaskan gas pemedih mata dan peluru hidup.
Zionis menahan enam warganegara, termasuk dua bersaudara dan seorang pemuda yang cedera.
Di Salfit, Zionis menahan dua pemuda berkenaan dari rumah mereka di bandar Deir Istiya, di barat laut Salfit.
Di Ramallah, Zionis menyerbu kampung Ein Qinya dan menangkap seorang pelajar di Universiti Birzeit setelah menyerbu dan menggeledah kediaman keluarganya dan mengganggu isi kandungannya.
Zionis menahan Baher Salhia setelah memecah masuk rumah keluarganya di kampung Ras Karkar, sebelah barat Ramallah.
Di Bethlehem, Zionis menyerbu kampung Husan, di sebelah barat Bethlehem, dan menangkap Ihsan Hamamra, 25, setelah mereka menyerbu dan menggeledah rumah keluarganya.
Zionis menahan dua bekas tahanan dari bandar Dura, barat daya al-Khalil, setelah menyerbu dan menggeledah rumah mereka.
Pusat pemeriksaan tentera didirikan di pintu masuk ke kota Sa’ir dan Halhul, dan di pintu masuk utara ke al-Khalil, Jourat Balas dan Fah selatan. Zionis juga telah menahan dan memeriksa kenderaan orang awam serta memeriksa kad pengenalan mereka.
Di Baitulmaqdis Yang Diduduki, polis Israel menahan Musab Al-Rifai setelah menyerbu dan menggeledah rumah keluarganya di kota Anata.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul