
Isnin, 23-08-2021 – Ramai warga Palestin yang tinggal di sebuah kampung yang terjejas oleh kebakaran hutan telah menolak untuk meninggalkan kediaman mereka sedang usaha memadam kebakaran masih dilakukan untuk memerangi kebakaran hutan yang besar di kawasan pergunungan di Baitulmaqdis barat yang telah memusnahkan kawasan hutan yang luas semenjak tiga hari lalu.
Setakat semalam, api mulai menghampiri perkampungan Palestin Ein Naqquba dan penduduk setempat mengadu tentang asap yang terhasil dari kebakaran, namun kemudian angin tiba-tiba bertiup ke arah yang bertentangan dengan api lalu menjauhkannya.
Ketua majlis daerah Suleiman Awadallah mengatakan pihak berkuasa rejim Zionis telah meminta penduduk kampung meninggalkan rumah mereka sebagai langkah berjaga-jaga, tetapi mereka enggan berbuat demikian kerana kebakaran tersebut tidak lagi menimbulkan ancaman yang besar kepada mereka.
Walaubagaimanapun, Awadallah memberitahu bahawa sejumlah penduduk yang sakit serga warga emas telah dipindahkan dari kampung tersebut.
“Angin telah berhenti bertiup ke arah kawasan kampung, dan ini membantu menjauhkan api dari kami, tetapi saya tetap menggesa orang ramai untuk berhati-hati dan tetap berada di dalam rumah mereka sehingga kebakaran dapat dikawal di kawasan tersebut,” tambah pegawai tempatan berkenaan.
“Penduduk kampung enggan meninggalkan rumah mereka setelah mereka mengenang apa yang terjadi ketika (bencana) Nakba 1948, jadi mereka memutuskan untuk tinggal di rumah mereka dan menghadapi kebakaran itu,” katanya.
Desa Ein Naqquba didirikan pada tahun 1962 oleh pelarian dari kampung Bayt Naqquba, yang telah dihuni oleh militan Zionis semasa Nakba Palestin 1948.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul