
Rabu, 29-09-2021 – Sheikh Ekrima Sabri, ketua Majlis Tertinggi Islam di Baitulmuqaddis yang diduduki, berkata bahawa tindakan pihak Israel yang membenarkan penceroboh Yahudi memasuki masjid al-Aqsa dalam jumlah yang besar mencerminkan niat sebenar untuk membenarkan kemasukan ajaran baru di tapak suci itu.
Dalam satu kenyataan akhbar, Sheikh Sabri menegaskan bahawa “kumpulan penceroboh tidak berani untuk masuk ke masjid al-Aqsa tanpa perlindungan ketat pihak polis, yang mana mengesahkan ketakutan mereka untuk menimbulkan kemarahan penduduk asal Baitulmuqaddis, yang merupakan pemilik sebenar tapak suci tersebut”.
Sabri mendesak penduduk Baitulmuqaddis dan semua pengunjung Muslim yang boleh memasuki masjid al-Aqsa supaya kerap berkunjung ke masjid itu serta memperhebatkan kehadiran mereka di halamannya untuk berhadapan dengan kemasukan oleh puak penceroboh.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Amrul Azmi Mizan