
Jumaat, 01-10-2021 – Dua orang pemuda Palestin cedera terkena peluru hidup semasa pertempuran bersenjata dengan pasukan rejim Zionis di bandar Qabatiya, selatan Jenin.
Sumber tempatan mengatakan bahawa tentera Israel dengan 20 kenderaan tentera menyerbu kota Qabatiya sebelum berlakunya pertempuran bersenjata dengan pejuang penentang.
Saksi mengatakan bahawa dua pemuda tempatan mengalami kecederaan disebabkan terkena peluru di kaki mereka dan dikejarkan ke Hospital Jenin.
Sementara itu, rejim Zionis menyerbu beberapa rumah di Gunung Zakarnah di sebelah timur Qabatiya.
Sumber lain memberitahu wartawan Pusat Maklumat Palestin (PIC) bahawa pejuang penentang menyerang tentera yang menyerang di Qabatiya di waktu subuh serta bandar Muthalat ash-Shuhada yang berdekatan.
Mereka mengatakan bahawa seorang pemuda yang dikenali sebagai Ahmed Dirweesh dari Muthalat ash-Shuhada cedera akibat tembakan oleh rejim Zionis di kakinya semasa pertempuran antara pihak penentang dan tentera.
Mereka menambah bahawa rejim Zionis masuk dan menggeledah sebuah bangunan pangsapuri di Qabatiya dan menghujani para pemuda tempatan dengan gas pemedih mata.
Pertembungan juga berlaku semalam dengan rejim Zionis di pelbagai kawasan di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis.
Di Ramallah, rejim Zionis menculik tiga pemuda dari rumah mereka dan bertembung dengan yang lain semasa serangan di bandar Deir Nidham.
Di Bandar al-Khalil, pertempuran malam berlaku antara puluhan pemuda tempatan dan rejim Zionis di daerah Bab az-Zawiya.
Saksi di al-Khalil mengatakan bahawa pasukan Israel menghujani para pemuda itu dengan gas pemedih mata, mengejar beberapa orang lain dalam usaha untuk menahan mereka dan memaksa kedai-kedai untuk menutup pintu, sambil menambah bahawa beberapa pemuda cedera akibat terdedah kepada gas pemedih mata.
Di Baitulmaqdis, pemuda tempatan di daerah Issawiya bertempur dengan pasukan polis dan melancarkan mercun ke arah mereka.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul