Tujuh rakyat Palestin syahid(doa)


Gaza, Isnin, 11/10/2004 – Tentera Israel membunuh tujuh rakyat Palestin termasuk lima pejuang di Gaza semalam apabila rejim Yahudi meneruskan serangan besar-besaran tenteranya bagi menghalang pejuang Palestin daripada melancarkan roket ke wilayah Israel.


Setakat ini 87 rakyat Palestin, 50 daripadanya pejuang dan selainnya penduduk awam terbunuh dalam serangan dengan menggunakan kira-kira 200 kereta kebal dan kenderaan berperisai Israel.

Serangan tersebut adalah yang terbesar di Gaza sejak intifada Palestin bermula pada 2000.

Tiga rakyat Israel turut terbunuh sejak permulaan serangan itu.

Mereka yang terkorban semalam termasuk seorang komander pejuang Hamas di kem pelarian Jabalya yang menjadi medan utama pertempuran, kata saksi.

Dua penduduk awam Palestin kemudiannya terbunuh akibat tembakan meriam kereta kebal Israel ketika mereka berada di dalam rumah mereka, kata saksi.

Tentera Israel bagaimanapun mendakwa sekumpulan lelaki bersenjata telah melancarkan roket antikereta kebal yang ditujukan terhadap askar Israel tetapi tersasar lalu mengenai rumah tersebut.

Walaupun menghadapi tekanan Amerika Syarikat (AS) dan antarabangsa, Perdana Menteri Israel Ariel Sharon minggu lepas mengarahkan tentera memperhebatkan serangan yang mula dilancarkan selepas dua kanak-kanak Israel terbunuh dalam serangan roket Palestin pada 29 September lepas.

Israel berikrar akan meneruskan serangannya di Gaza selagi pejuang Palestin melancarkan roket ke wilayahnya.

Askar Israel juga membunuh dua pejuang dalam pertempuran di bandar Beit Hanoun, utara Gaza.

Tentera Israel mendakwa bandar itu adalah antara tapak pelancaran utama bagi roket Qassam buatan Palestin.