Bot Pembedil Israel Serang Nelayan Gaza

Jumaat, 19-11-2021 – Pada pagi Rabu lalu, bot pembedil Israel melepaskan tembakan mesingan ke arah bot nelayan Palestin di luar pantai Semenanjung Gaza yang dikepung.

Menurut sumber tempatan, bot pembedil melepaskan beberapa peluru meriam ke laut berhampiran bot di luar pantai kawasan as-Sudaniya, barat laut Gaza.

Bot pembedil juga melepaskan tembakan mesingan ke arah bot nelayan lain di beberapa kawasan luar pantai yang berbeza di Gaza.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam serangan itu.

Tentera laut Israel dan bot-bot mereka berada di sekitar nelayan Gaza hampir setiap hari, mengganggu mereka, menembak mereka, merosakkan bot mereka, dan membuat penangkapan. Terdapat beberapa kejadian di mana nelayan tercedera atau terbunuh semasa serangan tembakan.

Di bawah perjanjian Oslo 1993, nelayan Palestin dibenarkan untuk menangkap ikan sehingga 20 batu nautika dari pantai Gaza, tetapi semenjak itu Israel telah terus-menerus mengurangkan kawasan penangkapan secara beransur-ansur hingga lah ke tiga batu nautika, sebagai sebahagian daripada sekatannya ke atas Gaza.

Nelayan dan kumpulan hak asasi manusia juga mengatakan bahawa sejak perang 2008-09 di Gaza, tentera Israel telah menguatkuasakan sempadan yang lebih dekat ke pantai.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul