
Jumaat, 07-01-2022 – Rejim Zionis pada pagi Rabu lalu telah menculik sekurang-kurangnya 11 warga Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Menurut Persatuan Tahanan Palestin di Tulkarem, Rejim Zionis menculik enam warganegara semasa serbuan ke atas rumah di beberapa kawasan berbeza di Tulkarem.
Rejim Zionis turut menculik tiga warganegara dikenali sebagai Ghassan Saif, Isam Ayman dan Khuzam Daghlas dari bandar Burqa di utara Nablus dan seorang lagi yang dikenali sebagai Nabil Diyab dari bandar Beita di selatan.
Di al-Khalil, rejim Zionis menceroboh dan menggeledah rumah ahli parlimen Palestin Mohamed at-Tal di bandar al-Dhahiriya, tanpa membuat sebarang tangkapan.
Di timur Baitulmaqdis, seorang warganegara dikenali sebagai Ahmed Adel telah ditahan semasa serbuan polis di rumahnya di bandar Abu Dis.
Dalam kejadian berasingan, rejim Zionis telah membuat serbuan di waktu subuh di beberapa jalan berhampiran ibu pejabat Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Bandar Ramallah di Tebing Barat tengah.
Menurut sumber tempatan, tentera Israel yang menaiki kenderaan tentera menyerbu jalan al-Irssal di bandar itu dan jalan-jalan lain berhampiran ibu pejabat PA dan melepaskan tembakan gas pemedih mata dan bom tangan.
Tindakan rejim Zionis itu mencetuskan pergaduhan dengan belia tempatan di kawasan itu, menurut sumber tersebut.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul