14 Rakyat Palestin Ditahan Dalam Kempen Baru Penangkapan Israel

Rabu, 19-01-2022 – Rejim Zionis telah melancarkan kempen serbuan dan pencarian baharu di seluruh Tebing Barat. Sekurang-kurangnya 14 rakyat Palestin telah ditahan semasa kempen tersebut yang telah dilancarkan pada waktu subuh hari Rabu.

Menurut Pejabat Media Asra, tentera Israel menahan tiga rakyat Palestin di Jenin, dua lagi di Baitulmaqdis, dua di Nablus, empat di al-Khalil, dan tiga orang bersaudara di Ramallah.

Beberapa rumah turut diserbu dan digeledah semasa penahanan itu, tambah sumber tersebut.

Wartawan PIC turut menegaskan bahawa seorang remaja bawah umur yang cedera turut ditahan di al-Khalil.

Sementara itu, seorang wartawan Palestin ditembak dan cedera terkena peluru logam bersalut getah semasa membuat liputan serbuan rejim Zionis di bandar Beituniya, barat Ramallah. 

Seorang lagi pemuda Palestin ditembak di kaki ketika pertempuran berlaku di kampung Bir al-Basha, selatan Jenin.Enam lagi penduduk tempatan ditahan semasa pertempuran itu.

Rejim Zionis sering melakukan serbuan penahanan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, dan menahan warga Palestin yang didakwa dikehendaki.

Sepanjang tahun lalu, tentera Israel telah melakukan 4,084 kempen serbuan di seluruh Tebing Barat dan Baitulmaqdis dan menahan 5,286 rakyat Palestin dari beberapa bahagian berlainan wilayah Palestin yang diduduki.

Israel buat masa ini menahan 4,650 rakyat Palestin, termasuk 34 wanita, 160 kanak-kanak, dan 500 tahanan pentadbiran di penjaranya.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul