
Selasa, 02-05-2023 – Pasukan pendudukan Israel (IOF) telah menculik beberapa orang warga Palestin semasa serbuan di Tebing Barat di pelbagai kawasan yang berbeza pada subuh Selasa yang lalu.
Menurut sumber tempatan, IOF telah menculik tiga orang pemuda termasuk seorang kanak-kanak, selepas memecah masuk dan menggeledah sebuah rumah di bandar Beit Ummar.
Beberapa pemuda juga turut dilaporkan diserang dengan gas pemedih mata semasa pertempuran dengan IOF di Beit Ummar.
Manakala di Bethlehem, IOF menyerbu sebuah rumah bandar Za’tara dan menahan seorang penduduk sebelum membebaskannya.
Di Jericho pula, tentera Israel dilaporkan telah menyerang Abdul-Qader Masharqa, 41, selepas memintas kenderaannya di pusat pemeriksaan tentera berhampiran bandar itu ketika mangsa sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya.
Sumber tempatan juga turut melaporkan bahawa tentera Israel telah memukul Masharqa dengan kejam dan kemudian membawanya ke pangkalan tentera Huwara di Nablus, di mana dia ditahan selama beberapa jam sebelum membebaskannya. Media tempatan juga berkata Masharqa telah ke hospital untuk mendapatkan bantuan perubatan selepas dibebaskan.
sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Moses