Categories
Berita Semasa

Perkembangan Terkini Di Hari Ke-101 Pembunuhan Beramai-ramai Tentera Haram Israel Di Gaza

Khamis, 18-01-2024 – Memasuki hari ke-101 berturut-turut, pasukan tentera Zionis Israel terus melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza. Mereka berterusan melancarkan berpuluh-puluh serangan udara, peluru meriam, dan pembantaian berdarah terhadap orang awam, serta melakukan jenayah ngeri di kawasan pencerobohan, tanpa memperdulikan isu kemanusiaan yang semakin memuncak akibat daripada pengepungan dan pengusiran keatas lebih daripada 90% penduduk Gaza yang tidak dinoktahkan.

Wartawan kami melaporkan bahawa pesawat dan artileri penjajah haram Israel meneruskan serbuan dan pengeboman ganas mereka di pelbagai sudut di Semenanjung Gaza, menyasarkan rumah, komuniti, kemudahan dan jalan. Hal ini menyebabkan pembunuhan ratusan orang awam dan angka  mereka yang cedera turut meningkat.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres berkata dalam satu kenyataan akhbar: Majoriti mangsa di Gaza adalah wanita dan kanak-kanak, dan  tiada satu alasan yang sepatutnya boleh digunakan untuk membenarkan hukuman secara kolektif terhadap rakyat Palestin. 

Beliau turut menegaskan bahawa isu kebuluran, penyakit, kekurangan zat makanan serta ancaman kesihatan yang lain turut menghantui penduduk Gaza.

Beliau juga mengesahkan pembunuhan (mati syahid) 152 kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak 7 Oktober yang lalu, merupakan kerugian terbesar dalam sejarah organisasi itu.

Beliau berkata lagi “Kami sangat memerlukan gencatan senjata segera atas sebab kemanusiaan, dan ingin memberi amaran bahawa semakin lama konflik di Gaza berterusan, semakin besar risiko yang perlu di hadapi seperti peningkatan salah laku serta jenayah perang yang tidak terkawal.”

Kementerian Kesihatan di Gaza dalam satu kenyataan lain menyatakan tentera haram Israel telah melakukan 12 serangan tanpa henti yang mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai terhadap warga Semenanjung Gaza, di mana serangan-serangan tersebut telah mengorbankan 132 syahid serta mengakibatkan 252 cedera dalam tempoh 24 jam yang lalu. 

Ini tidak termasuk masih terdapat ramai lagi mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan raya, yang mana ambulans dan krew pertahanan awam tidak dapat menghubungi atau menjejaki mereka.

Ini mengesahkan lagi jumlah korban akibat pembantaian tentera haram Israel yang terus meningkat menjejaki angka 24,100 orang syahid dan 60,834 kecederaan sejak ia bermula 7 Oktober lalu.

Setiap hari artileri haram Israel terus mengebom penempatan seperti dalam laporan hari ini yang melibatkan kem Al-Maghazi, kampung Al-Masdar, dan kem Al-Bureij di tengah-tengah Semenanjung Gaza, selain Batman Al-Sameen, Qaizan Al-Najjar, dan Jourat Al-Lot di Khan Yunis .

Pesawat penjajah haram Israel juga dilaporkan telah mengebom sebuah sekolah, tadika, dan Masjid Al-Dawa, di utara Nuseirat, di tengah-tengah Semenanjung Gaza, menutup laporan hari ini.

sumber : https://palinfo.com/ diterjemah oleh Ahmed Al-Marsogi