
Isnin, 22-01-2024 – Persatuan Tahanan Palestin (PPS) telah memberi amaran akan perlakuan jenayah Israel berkenaan ‘pengghaiban terancang’ terhadap tahanan-tahanan Gaza, berikutan pelulusan oleh Knesset Israel bagi melanjutkan tempoh sah peraturan yang melarang tahanan Gaza untuk berjumpa peguam dengan penambahan 4 bulan.
Persatuan itu berkata dalam satu kenyataan pada Rabu, “Melalui langkah ini, penjajahan Israel berniat untuk melakukan lebih lagi jenayah terhadap tahanan Gaza tanpa sebarang tinjauan berkesan, dan untuk menggunakan peraturan ini untuk menyelindungi jenayah berterusan mereka terhadap tahanan-tahanan Gaza.”
Persatuan itu menambah bahawa halangan berterusan tahanan Gaza daripada berjumpa peguam bermakna lebih banyak sesi siksaan, dera, kebuluran, penghinaan serta pemenjaraan dalam keadaan tidak berperikemanusiaan.
Kenyataan PPS menekankan juga bahawa segala rayuan kepada organisasi-organisasi antarabangsa tidak menganjur ke arah sebarang maklumat jelas yang boleh meyakinkan ahli keluarga tahanan-tahanan Gaza.
Badan-badan yang memberi perhatian kepada isu tahanan Palestin telah membuat rujukan, dalam beberapa kenyataan sebelum ini, kepada testimoni-testimoni berkenaan siksaan daripada bekas-bekas tahanan yang telah dibebaskan dari Penjara Ofer.
Pasukan penjajahan Israel dilaporkan mengakui pembunuhan seorang tahanan di penjara dan kematian sekumpulan tahanan di kem Sde Teman di Beersheba, serta dua orang pekerja Gaza, yang mana identiti salah seorangnya telah didedahkan.
Menurut data terkini, lebih kurang 661 tahanan dari Gaza sedang berada di penjara-penjara Israel sebagai ‘pejuang haram’, serta lebih daripada 50 wanita Gaza ditahan di Penjara Damon, dengan 8 daripadanya telah dibebaskan baru-baru ini.
PPS menyeru organisasi-organisasi hak asasi manusia antarabangsa untuk masuk campur dengan segera dan dengan serta-merta mengaturkan lawatan untuk tahanan, juga untuk memberi tekanan kepada Israel bagi mendedahkan nasib para tahanan Gaza, serta menamatkan jenayah pengghaiban terancang.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Fahirul