
Isnin, 29-01-2024 – Briged Al-Qassam terus bertahan untuk hari ke-108 berturut-turut, dalam menghadapi pasukan tentera haram Zionis yang telah berjaya menembusi beberapa pertahanan yang setakat ini telah mengakibatkan kematian 535 pegawai dan askar haram rejim Zionis serta mencederakan lebih daripada 2,672 yang lain. Namun menurut pengakuan tentera musuh sendiri, lebih daripada 6,400 cedera, seperti yang di laporkan oleh pihak hospital Zionis.
Selain memusnahkan sepenuhnya atau sebahagian ratusan daripada kenderaan musuh, Briged al-Qassam juga terus mengebom tapak-tapak dan penempatan musuh di Semenanjung Gaza, dan berjaya melumpuhkan serangan musuh di pelbagai kawasan pencerobohan.
Sejak hari pertama yang bermula pada 7 Oktober lalu, Briged Qassam telah berjaya membunuh beratus-ratus askar dan menangkap kira-kira 250 warga Zionis, manakala peluru berpandu Qassam telah berjaya menyasarkan Lapangan Terbang Ben Gurion, Ashkelon, Ashdod, dan lain-lain sebagai sebahagian daripada Operasi Pertempuran Taufan Al-Aqsa, dalam mempertahankan Al-Aqsa dan tempat-tempat suci di sekelilingnya.
Dalam kenyataan terbaru pada petang Isnin, tentera haram rejim Zionis turut mengakui bahawa 3 pegawainya telah terkorban, dua daripadanya berpangkat mejar dan salah satunya berpangkat kapten.
Mereka juga mendedahkan bahawa 3 tentera lain telah cedera parah.
Tentera Zionis menambah lagi bahawa tiga pegawai tinggi tenteranya turut terkorban iaitu timbalan komander batalion, komander kompeni dan komander platun dalam Batalion ke-202 Briged Pasukan Payung. Mereka terbunuh dalam pertempuran di barat Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza.
*TENTERA HARAM ISRAEL MENGEBOM TENTERANYA SENDIRI*
Briged Al-Qassam berkata dalam laporan tenteranya, bahawa selepas menyasarkan dan memusnahkan kereta kebal Markava, pasukan penyelamat Zionis cuba untuk mengeluarkan kereta kebal lain dari lokasi serangan namun terpaksa berhadapan pasukan Mujahidin yang terus menghalang mereka daripada mara ke arah kereta kebal milik mereka. Namun terjadi sesuatu yang tidak disangka apabila pesawat tentera haram Israel datang lalu terus menyasarkan kereta kebal milik mereka dengan beberapa peluru berpandu dan menghancurkan sepenuhnya kereta kebal tersebut, termasuk mengorbankan tentera Israel yang berada di dalamnya.
Briged Al-Qassam juga mengesahkan bahawa tentera Zionis telah menembak seorang askarnya dan mencederakannya di barat daya Kota Gaza.
Briged Al-Qassam turut menyiarkan adegan Mujahidin Al-Qassam bertempur dengan kenderaan dan tentera musuh di kawasan timur Jabalia Al-Balad, utara Semenanjung Gaza di saluran Telegramnya.
*BRIGED AL-QUDS*
Bagi pihaknya, Briged Al-Quds telah mengumumkan bahawa dalam operasi bersama, Mujahidin Briged Al-Quds dan Briged Al-Qassam berjaya mengebom barisan bekalan dan laluan untuk kenderaan musuh Zionis di timur Jabalia dengan peluru mortar.
Briged Al-Quds dalam satu kenyataan turut berkata “Kami terlibat di barisan hadapan dalam pertempuran sengit dengan mesin gun dan peluru berpandu anti kereta kebal dengan askar dan kenderaan Zionis di bandar Khan Yunis.
Mereka juga mengumumkan bahawa mereka berjaya menyasarkan, kumpulan tentera Zionis dengan peluru berpandu Badr 1, di timur kem Maghazi di tengah Semenanjung Gaza dan mengebom kumpulan tentera musuh menggunakan peluru mortar di timur kejiranan Al-Zaytoun di Bandar Gaza.
Sebuah kenderaan tentera Zionis juga berjaya disasarkan dengan peluru RPG di tengah-tengah bandar Khan Yunis.
sumber : https://palinfo.com/ diterjemah oleh Ahmed Al-Marsogi