
Selasa, 30-01-2024 – Kementerian Kesihatan di Gaza mengumumkan pada hari Ahad bahawa tentera penjajahan Israel melakukan 19 pembunuhan beramai-ramai di kawasan berbeza di Jalur Gaza dalam tempoh 24 jam yang lepas, menewaskan sekurang-kurangnya 165 orang awam dan mencederakan lebih daripada 290 orang lain, sementara sebilangan besar mangsa masih di bawah runtuhan bangunan yang dibom atau terbaring di jalan.
Dalam kenyataannya, Kementerian Kesihatan menambah bahawa jumlah kematian akibat serangan bom Israel yang berterusan, yang bermula pada 7 Oktober, meningkat kepada 26,422 syuhada dan bilangan yang cedera meningkat kepada 65,087 orang.
Sementara itu, Bulan Sabit Merah menyatakan bahawa Hospital Al-Amal yang terkepung di Khan Yunis kehabisan oksigen untuk pembedahan.
Bulan Sabit Merah menambah bahawa mereka telah berbincang dengan Palang Merah mengenai kemungkinan menyediakan laluan selamat untuk membawa silinder oksigen ke hospital.
Setiap hari, tentera Israel meningkatkan serangan udara dan darat mereka ke atas Jalur Gaza, yang telah terus-menerus diserang sejak operasi lintas sempadan dilancarkan oleh sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam, pada 7 Oktober.
Selain daripada jumlah besar mangsa dan penghijrahan besar-besaran, bekalan makanan asas, bahan api, air, dan bekalan perubatan telah habis untuk 2.3 juta penduduk di Gaza disebabkan sekatan Israel yang ketat dan penghancuran besar-besaran infrastruktur dan kemudahan-kemudahan yang lain.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Norshuhada Samudin