Majlis Perbandaran Gaza memberi amaran: Lambakan sisa buangan dan ancaman serangga berbahaya memburukkan lagi masalah penyebaran penyakit kulit

Isnin, 15-04-2024 – Majlis Perbandaran Gaza telah mengulangi amarannya tentang bahaya penyebaran penyakit kulit akibat peningkatan mendadak kewujudan serangga hasil daripada pencerobohan dan perang pemusnahan yang dilakukan oleh Israel di Semenanjung Gaza, serta lambakan sisa buangan di jalanan dan limpahan kumbahan ke dalam kolam pengumpulan air hujan di kejiranan Sheikh Radwan.

Majlis Perbandaran menegaskan dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis bahawa pengumpulan lebih daripada 90,000 tan sisa di jalanan dan kemusnahan infrastruktur di bandar, bersama-sama dengan penutupan stesen kumbahan, telah menyebabkan kebocoran air sisa ke jalanan, menyebabkan peningkatan ketara dalam pembiakan nyamuk berbahaya.

Ia menjelaskan bahawa kekurangan bekalan racun serangga yang diperlukan dan suhu tinggi telah menyebabkan peningkatan dalam pembiakan serangga, “mengakibatkan peningkatan penyakit kulit di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa, serta gangguan tidur akibat gigitan nyamuk.”

Majlis Perbandaran menyeru institusi dan organisasi tempatan serta antarabangsa, terutamanya Pihak Berkuasa Kualiti Alam Sekitar, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dan semua entiti yang berkaitan, untuk membantu memerangi pembiakan serangga dan mengehadkan kesannya.

Ia juga menyebut bahawa pencerobohan dan perang pemusnahan yang dilakukan oleh rejim Zionis sejak 7 Oktober tahun lalu telah menyebabkan bencana kesihatan dan alam sekitar yang besar di Gaza, serta kehabisan sumber bahan api, membawa kepada kelumpuhan kerja perbandaran dan gangguan perkhidmatan penting, terutamanya perkhidmatan kutipan sisa, kumbahan dan air.

Tentera rejim Zionis meneruskan pencerobohannya di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober dengan sokongan Amerika dan Eropah, di mana pesawat tenteranya mengebom hospital, bangunan, menara, dan rumah orang awam Palestin, lantas membunuh kebanyakan penduduk yang terperangkap di dalam binaan-binaan tersebut , sambil juga menghalang kemasukan air, makanan, ubat, dan bahan api.

sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Norliza Baharom