Categories
Berita Semasa

Hamas mengeluarkan amaran tentang bahaya kekurangan bahan api di hospital Gaza

Khamis , 02-05-2024 – Gerakan Hamas pada hari Khamis menyampaikan amaran kementerian kesihatan tentang kekurangan kritikal bekalan bahan api ke hospital, yang mengancam gangguan bekalan elektrik di pusat-pusat rawatan, serta meletakkan nyawa ribuan pesakit dalam bahaya. Ia memerlukan perhatian segera masyarakat antarabangsa bagi memberi tekanan kepada kuasa penjajah fasis Israel untuk menarik balik sekatan kejam yang dikenakan ke atas semua aspek kehidupan di Gaza, termasuk hospital.

“Rejim Zionis telah menyasarkan hospital dan pusat perubatan di Semenanjung Gaza sejak hari pertama pencerobohan.”

Hamas menegaskan bahawa rejim Zionis kini berusaha untuk menghalang segala percubaan bagi membuka semula kemudahan kesihatan sebagai sebahagian daripada kempen genosid mereka terhadap penduduk Palestin.

Pada masa yang sama, Hamas juga menuntut siasatan antarabangsa segera dilakukan terhadap kubur besar yang ditemui dengan ratusan mayat warga Palestin yang dibunuh oleh rejim Zionis di Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza.

“Pasukan perubatan berterusan menemui mayat para syahid yang dibunuh oleh tentera fasis Israel dan dikebumikan di kubur besar di Kompleks Perubatan Nasser,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu menggesa masyarakat antarabangsa menghantar pasukan forensik khusus bersama peralatan yang diperlukan untuk mencari mangsa yang hilang dan mengenal pasti identiti mayat.

Ia menekankan keperluan segera “untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa antarabangsa bebas bagi menyiasat jenayah kejam yang membawa kepada penemuan kubur-kubur besar mengandungi mayat pesakit, kanak-kanak, dan wanita yang terlebih dahulu melalui penyeksaan dan kekejaman, di samping tanda-tanda ada yang dikebumikan hidup-hidup.”

Agensi Pertahanan Awam Gaza berkata Khamis bahawa ia menemui 392 mayat dalam tiga kubur besar di Hospitl Nasser.

Tentera Israel berundur dari Khan Younis pada 7 April selepas operasi darat selama empat bulan di Kompleks Perubatan.

sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Norliza Baharom