Jumaat , 28-06-2024 – Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza merayu kepada PBB dan organisasi antarabangsa untuk segera campur tangan dalam menyediakan hospital di wilayah pantai yang dilanda perang dengan keperluan dan bekalan perubatan untuk menyelamatkan nyawa orang awam dan pesakit yang cedera.
Dalam satu kenyataan pada hari Selasa, Kementerian Kesihatan berkata bahawa hospital dan pusat kesihatan mengalami kekurangan akut ubat-ubatan dan bekalan perubatan bagi menyelamatkan nyawa di tengah-tengah pencerobohan dan pengepungan Israel yang berterusan.
Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa mereka mengalami hampir kehabisan atau kehabisan stok bagi ubat-ubatan yang digunakan untuk kecemasan, anestesia, rawatan rapi dan pembedahan.
Kementerian Kesihatan merujuk kepada penderitaan pesakit tumor yang perlu mendapatkan rawatan ke luar negara dan mengatakan mereka hanya diberikan rawatan paliatif.
Kekurangan perubatan di Gaza juga mengancam nyawa lebih 1,000 pesakit dialisis, terutama kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan.
Kementerian Kesihatan juga menekankan keperluan untuk ubat-ubatan yang digunakan bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan utama untuk ibu, kanak-kanak, dan orang yang mempunyai penyakit kronik dan masalah kesihatan lain.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Ezatul