Categories
Berita Semasa

Penjajah Membunuh Ketua Pengarah Polis Di Gaza,mahmoud Salah Dan Pembantunya Hossam Shahwan

Isnin, 6/1/2025 – Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Negara mengumumkan bahawa penjajah Israel telah membunuh Ketua Pengarah Polis di Semenanjung Gaza, Mejar Jeneral Mahmoud Salah, dan pembantunya, Mejar Jeneral Hossam Shahwan, seorang anggota Majlis Pemerintah Polis dalam Khan Yunis.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata: Pada awal pagi, Khamis, penjajah Israel membunuh Ketua Pengarah Polis di Semenanjung Gaza, Mejar Jeneral Mahmoud Salah, dengan menyasarkannya melalui serangan udara semasa dia berada di Wilayah Khan Yunis, diiringi oleh Mejar Jeneral Hossam Shahwan, seorang anggota Majlis Pemerintah Polis, semasa mereka sedang menjalankan tugas kemanusiaan dan berkhidmat untuk rakyat Palestin memandangkan keadaan bencana yang mereka alami akibat pencerobohan Israel. Malah serangan terbaru itu turut membawa kepada kematian sebilangan rakyat awam.

Beliau menegaskan bahawa dengan melakukan jenayah membunuh Ketua Pengarah Polis di Semenanjung Gaza, jelas penjajah berkeras untuk menyebarkan huru-hara di Semenanjung Gaza dan menambahkan lagi derita yang sedang di alami rakyat Gaza. Hal ini jelas secara terang-terangan  telah melanggar semua undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan, memandangkan pasukan polis adalah sebuah agensi perlindungan awam yang memainkan peranan kemanusiaan dalam membantu rakyat dan menyediakan perkhidmatan kepada mereka sepanjang tragedi yang mereka alami akibat pencerobohan yang berterusan selama 15 bulan kebelakangan ini.

Beliau menegaskan bahawa Mejar Jeneral Mahmoud Salah telah kembali sebagai seorang syahid dalam bidang perkhidmatan kepada rakyat kita, dan berjaya menobatkan hidupnya dengan Pingat Syahid selepas 30 tahun berkhidmat dalam Perkhidmatan Polis Palestin sejak penubuhannya. Beliau sebelum ini pernah diberikan pelbagai tanggungjawab dan yang terakhir beliau memikul tanggungjawab dan jawatan terkini di dalam Perkhidmatan Polis selama 6 tahun.

Kenyataan itu juga menyebut: Darah Mejar Jeneral Mahmoud Salah dan Mejar Jeneral Hossam Shahwan, yang menghabiskan masa hidupnya dalam pasukan polis berkhidmat kepada rakyatnya, tidaklah lebih berharga daripada darah rakyat, wanita, kanak-kanak, belia dan orang tua kita. Tetapi pada hari ini kita dapati kesucian darahnya bercampur dengan darah ratusan pegawai dan anggota pasukan polis yang telah disasarkan oleh penjajah semasa pembantaian kejam mereka ke atas bumi Gaza, sedangkan mereka menjalankan tugas mereka dengan penuh hormat dalam berkhidmat kepada rakyat kita.

Kementerian menyimpulkan dengan berkata: Kami tidak akan berundur daripada menjalankan tugas kami terhadap rakyat kami, tanpa mengira sebesar mana pun pengorbanan dan cabaran yang ada, dan penjajah tidak akan berjaya mencapai matlamat jahatnya untuk menjejaskan keteguhan agensi Kementerian Dalam Negeri , khususnya polis.  Kami akan terus berdepan dengan segala usaha untuk mengawal keadaan di Semenanjung Gaza.

Penterjemah : Halimah