
Rabu, 26/02/2025 – Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) pada hari Isnin menyatakan kebimbangannya terhadap kesan serangan Israel yang telah berlarutan selama beberapa minggu di Tebing Barat yang diduduki, menyebabkan puluhan ribu rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal.
“ICRC amat prihatin terhadap kesan operasi keselamatan yang berterusan ke atas penduduk awam di Jenin, Tulkarem, Tubas, dan kawasan lain di utara Tebing Barat,” kata kenyataan itu.
“Dengan banyak rumah yang rosak atau musnah, penduduk berdepan kesukaran untuk mendapatkan keperluan asas seperti air bersih, makanan, rawatan perubatan, dan tempat perlindungan,” tambahnya.
“ICRC sedang bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) untuk menyelaraskan pengagihan bantuan dan pemindahan perubatan. Penduduk yang dipindahkan di utara Tebing Barat memerlukan bantuan segera.”
Penterjemah : Norshuhada Samudin