Categories
Berita Semasa

Hamas Rayu Pengantara Tekan Zionis Laksana Protokol Kemanusiaan

Isnin, 03/03/2025 – Pergerakan Hamas telah menyeru pengantara di Qatar dan Mesir untuk mengambil tindakan segera untuk menekan kerajaan Zionis Israel supaya menunaikan kewajipannya di bawah perjanjian gencatan senjata, terutamanya berkaitan protokol kemanusiaan.

“Kematian enam bayi yang baru lahir dan beberapa kanak-kanak yang sakit dalam keadaan kritikal akibat musim sejuk yang teruk dan kekurangan alat pemanasan di Gaza adalah hasil daripada dasar jenayah kerajaan Zionis fasis,” kata Hamas dalam satu kenyataan pada hari Selasa.

Hamas menuduh kerajaan Israel menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan dan bekalan perlindungan ke Gaza.

Hamas juga menyelar masyarakat antarabangsa kerana tidak mengambil tindakan untuk menangani bencana kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Gaza, yang berpunca daripada pencerobohan dan pengepungan Israel.

Hamas menggesa pengantara untuk memastikan kemasukan rumah mudah alih dan bekalan pemanas serta bantuan perubatan segera ke Gaza untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak.

Kematian kanak-kanak terbaharu berlaku ketika Israel terus menyekat kemasukan rumah mudah alih dan keperluan penting lain ke Gaza, walaupun bersetuju membenarkannya di bawah syarat perjanjian gencatan senjata.

Penterjemah : Ameen