
Rabu, 05/03/2025 – Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Türk, menekankan keperluan untuk menyambung semula penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza secepat mungkin.
Dalam laporan globalnya yang dikemukakan kepada Majlis Hak Asasi Manusia pada hari Isnin, Türk menjelaskan bahawa “serangan Israel telah menghancurkan struktur sosial dan fizikal” di Gaza.
Ketua hak asasi manusia PBB itu turut menegaskan bahawa gencatan senjata yang rapuh di Gaza mesti dikekalkan “dan menjadi asas kepada keamanan.”
Türk menerangkan bahawa Gaza telah “musnah” akibat pengeboman berterusan oleh Israel.
“Sebarang penyelesaian terhadap kitaran keganasan mesti berasaskan hak asasi manusia, termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri, kedaulatan undang-undang, dan akauntabiliti.”
“Semua tebusan mesti dibebaskan; semua yang ditahan secara sewenang-wenangnya mesti dilepaskan; dan bantuan kemanusiaan ke Gaza mesti disambung semula dengan segera.”
Penterjemah : Norshuhada Samudin