Categories
Berita Semasa

Sheikh Akram Sabri Seru Umat Islam Perbanyak Kehadiran Di Masjid Al-Aqsa

Isnin, 10/03/2025 – Penceramah Masjid al-Aqsa, Sheikh Akram Sabri, menyeru umat Islam, khususnya rakyat Palestin, untuk meningkatkan kehadiran di Masjid al-Aqsa sepanjang bulan suci Ramadan.

“Meningkatkan kehadiran di Masjid al-Aqsa adalah satu kewajipan agama,” tegasnya.

Beliau turut mengajak umat Islam di seluruh dunia untuk memanfaatkan bulan Ramadan ini dengan mengunjungi Masjid al-Aqsa.

Beberapa inisiatif Palestin telah dilancarkan bagi memperkukuhkan kehadiran di Masjid al-Aqsa dan mempertahankan kawasan perkarangan masjid tersebut sebagai tindak balas terhadap dasar ‘Yahudisasi’ oleh Israel.

Pada masa yang sama, ribuan umat Islam menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis pada malam keenam Ramadan.

Menurut Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis, kira-kira 85,000 rakyat Palestin berjaya menunaikan solat di Masjid al-Aqsa meskipun berdepan sekatan ketat oleh pihak Israel untuk memasuki Bandar Lama Baitulmaqdis dan kawasan masjid.

Setiap tahun, sepanjang Ramadan, Israel melaksanakan sekatan yang menyukarkan rakyat Palestin untuk sampai ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Bagi rakyat Palestin, sekatan ini dianggap sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar Israel untuk ‘Yahudisasi’ Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa, serta menghapuskan identiti Arab dan Islam di sana.

Pada tahun lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan bahawa penjajahan jangka panjang Israel di wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis yang diduduki, adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.

Penterjemah : Ezatul