
Isnin, 10/03/2025 – Jurucakap tentera Briged Al-Qassam, Abu Ubaida, menekankan bahawa apa yang tidak mampu diselesaikan oleh penjajah Zionis dengan peperangan, ia juga tidak akan mampu menyelesaikannya dengan cara ancaman atau tipu muslihat.
Abu Ubaida menegaskan dalam ucapan video pada petang Khamis lalu bahawa jalan terbaik untuk menyelesaikan isu pada ketika ini adalah dengan menekan musuh untuk melaksanakan segala apa yang telah ditandatangani. Malah menurutnya, ancaman perang oleh musuh hanya akan membawa kekecewaan dan tidak akan membawa sebarang pembebasan tawanannya.
Dia juga memberi peringatan kepada keluarga tahanan bahawa bukti semua tahanan masih hidup dan selamat setakat ini jelas, dan sekiranya berlaku sebaliknya, ia adalah akibat ulah penjajah yang terus-terusan boleh menyebabkan kematian dan penderitaan mereka seperti penolakan pihak musuh terhadap rundingan damai yang sedang berlangsung sekarang.
Menurutnya lagi “Kami sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan”.
Beliau menegaskan bahawa sebarang peningkatan pencerobohan terhadap rakyat Palestin akan membawa kepada kematian beberapa tawanan musuh di kemudian hari.
Ancaman musuh untuk kembali bertempur hanya akan mendorong mereka untuk kembali menyelesaikan apa yang masih tersisa daripada rancangan asal tentera pembela.
Beliau mengingatkan sekali lagi bahawa peperangan akan lebih merugikan musuh pada masa depan. Malah menurutnya, ancaman musuh pada ketika ini jelas menunjukkan tanda kelemahan, kehancuran, dan rasa terhina mereka terhadap apa yang terjadi selama ini. Sekaligus ia juga sebaliknya menjadi bukti kekuatan, kebangkitan dan penentangan yang hebat dari rakyat kita.
Penterjemah : Halimah