
Selasa, 11/03/2025 – Hamas mendakwa bahawa Israel telah memutuskan bekalan elektrik ke Semenanjung Gaza sejak perang tercetus pada Oktober 2023, menyebabkan lebih dua juta penduduk terjejas.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem, berkata tindakan Israel yang terkini untuk menghentikan serta-merta bekalan elektrik ke Gaza hanyalah kesinambungan daripada dasar yang tidak berperikemanusiaan ini.
“Tindakan ini jelas menunjukkan niat Israel untuk terus melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza melalui polisi kebuluran, tanpa menghiraukan undang-undang dan norma antarabangsa,” katanya.
Beliau turut menggesa agar negara-negara Arab melaksanakan saranan sidang kemuncak mereka untuk menamatkan kepungan dan kempen kebuluran di Gaza.
Pada Ahad lalu, Menteri Tenaga Israel, Eli Cohen, mengumumkan arahan memutuskan sepenuhnya bekalan elektrik ke Gaza, seminggu selepas bantuan kemanusiaan turut dihentikan.
Sudah 15 bulan berlalu sejak serangan Israel bermula, dan kemusnahan besar terhadap infrastruktur Gaza semakin kritikal. Bekalan elektrik yang terhad bukan sahaja mengganggu kehidupan seharian tetapi turut memberi kesan kepada perkhidmatan asas seperti bekalan air bersih.
Buat masa ini, penduduk Gaza hanya mampu bergantung kepada penjana elektrik dan panel solar. Namun, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Gaza telah berdepan “defisit elektrik kronik” selama lebih sedekad.
Statistik pada tahun 2022 menunjukkan penduduk Gaza hanya menerima purata 12 jam bekalan elektrik setiap hari. Keadaan ini memburukkan lagi krisis bekalan air dan perkhidmatan penting lain di wilayah tersebut, menjadikan kehidupan semakin sukar dan mencabar.
Penterjemah : Ezatul