
Rabu, 19/03/2025 – Majlis Perbandaran Gaza memberi amaran mengenai ancaman serius akibat pemberhentian bekalan tenaga dan bahan api susulan penutupan berterusan lintasan sempadan oleh Israel. Sekatan ini telah menghalang kemasukan sumber penting yang diperlukan untuk mengendalikan perkhidmatan asas serta kemudahan utama di bandar tersebut.
Dalam satu kenyataan pada hari Ahad, majlis menegaskan bahawa gangguan bekalan tenaga boleh melumpuhkan operasi loji air, sistem kumbahan, serta perkhidmatan lain. Keadaan ini hanya akan memperburuk lagi krisis kemanusiaan dan kesihatan yang sudah meruncing akibat sekatan dan serangan berterusan oleh Israel.
Selain itu, Israel turut mengancam untuk menghentikan bekalan air ke Gaza. Ketika ini, syarikat air Israel, Mekorot, membekalkan kira-kira 70% daripada keperluan harian bandar tersebut. Sekiranya bekalan ini terputus, penduduk Gaza bakal berdepan dengan krisis air yang kritikal, menjejaskan kehidupan seharian, memburukkan kesihatan awam, serta meningkatkan risiko penyebaran penyakit.
Sehubungan itu, majlis menyeru organisasi antarabangsa untuk segera campur tangan bagi menyelamatkan nyawa penduduk Gaza. Mereka juga mendesak Israel agar menghormati undang-undang serta konvensyen antarabangsa dengan memastikan bekalan tenaga dan air disalurkan tanpa sebarang halangan.
Pada 2 Mac, tentera Israel telah menutup semua lintasan masuk ke Semenanjung Gaza, menghalang kemasukan barangan dan bantuan kemanusiaan serta memutuskan bekalan elektrik. Tindakan ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi menekan rakyat Palestin melalui sekatan dan kelaparan.
Penterjemah : Ezatul