
Isnin, 21/04/2025 – Pasukan pendudukan Israel telah meneruskan perang pembunuhan beramai-ramai keatas Semenanjung Gaza sejak meneruskannya 30 hari yang lalu, berikutan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu melanggar perjanjian gencatan senjata. Berdasarkan sokongan politik dan ketenteraan Amerika, operasi itu telah menemui kesunyian antarabangsa dan kekecewaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini daripada masyarakat antarabangsa.
Wartawan kami melaporkan bahawa tentera pendudukan melancarkan puluhan serbuan dan melakukan pemusnahan rumah-rumah penduduk, manakala kesan halangan kemasukan bekalan makanan asas ke Gaza semakin memuncak sejak awal Mac lalu. Ini memberi gambaran keras tentang kebuluran yang dihadapi penduduk Semenanjung Gaza.
Sumber perubatan berkata, 23 syuhada telah terbunuh dalam pengeboman Israel di Semenanjung Gaza sejak tengah malam tadi.
Sumber perubatan juga telah mengesahkan bahawa 10 orang terbunuh apabila tentera Israel mengebom khemah pelarian di barat laut Khan Yunis.
Pesawat pejuang Israel telah mengebom sekitar kawasan kejiranan Jepun di barat Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza.
Taher Al-Saqa dan Khaled Al-Astal, warga Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel petang tadi di bandar Al-Qarara, timur laut Khan Yunis.
Pesawat pejuang Israel melancarkan serbuan petang ini, bersamaan dengan tembakan meriam ke timur Kota Gaza.
Seorang syahid terbunuh oleh serangan dron Israel pagi ini ke atas khemah milik pantri makanan di kawasan Al-Da’wa, timur laut Al-Nuseirat, di tengah Semenanjung Gaza.
Shafiq Abdullah Radwan (Qadih) telah syahid akibat kecederaan yang dialaminya seminggu lalu dalam pengeboman Israel di bandar Khuza’a, timur Khan Yunis.
Pasukan pendudukan Israel membebaskan 10 rakyat yang ditahan semasa perang ke atas Gaza melalui persimpangan Karam Abu Salim.
Dua orang awam cedera akibat tembakan dron quadcopter Israel di kawasan Jalan Al-Nas di Khan Yunis.
Dua nelayan cedera apabila tentera laut Israel membedil bot mereka di luar pantai Khan Yunis.
Sepuluh orang syahid dan 13 lagi cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan rumah keluarga Hassouna di kawasan kejiranan Tuffah, timur Kota Gaza.
Sumber media mengesahkan bahawa wartawan Fatima Hassouna adalah antara yang mati syahid.
Pesawat pendudukan melancarkan serbuan dan melepaskan tembakan dari helikopter di timur Kota Gaza.
Tentera pendudukan Israel meletupkan bangunan kediaman di bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza.
Bot tentera Israel melepaskan tembakan ke arah pantai Kota Gaza.
Pesawat perang Israel melancarkan serangan udara yang menyasarkan sebuah rumah di kawasan kejiranan Al-Amur di bandar Al-Fakhari, timur Khan Yunis.
Tiga kanak-kanak terbunuh apabila pesawat pejuang Israel mengebom rumah keluarga Al-Hisi di Jabalia al-Nazla, utara Semenanjung Gaza.
Penterjemah : Farah Najwa