Categories
Berita Semasa

Hamas Desak Jordan Tangani Kes 16 Tahanan Dengan Tanggungjawab Sosial

Khamis, 24/04/2025 – Pergerakan Hamas menegaskan komitmen penuhnya terhadap keselamatan dan kestabilan Jordan serta semua negara Arab dan Islam, sambil menyeru kerajaan Jordan agar segera membebaskan 16 rakyatnya yang ditahan atas tuduhan cuba menghasilkan roket dan dron.

Dalam satu kenyataan rasmi pada hari Selasa, Hamas menyatakan keyakinannya bahawa tindakan pemuda-pemuda Jordan yang ditahan—atas dakwaan menghasilkan roket dan dron—berpunca daripada solidariti tulen terhadap perjuangan Palestin, penentangan terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza, serta usaha mempertahankan Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa. Hamas menegaskan bahawa tindakan tersebut tidak pernah bertujuan mengancam keselamatan atau kestabilan Jordan.

Hamas menyeru pihak berkuasa Jordan agar memahami dan menghargai “niat nasional yang terpuji” di sebalik tindakan tahanan ini, serta menguruskan isu ini dengan kebijaksanaan dan semangat tanggungjawab pan-Arab. Perkara ini, katanya, akan memperkukuh hubungan sejarah yang mendalam antara rakyat Jordan dan Palestin dalam perjuangan bersama menentang penjajahan Israel dan rancangannya.

Pergerakan itu menekankan bahawa tindakan pemuda Jordan ini berlaku dalam konteks “jenayah kejam rejim Zionis dan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza.”

Hamas turut memuji pelbagai inisiatif yang lahir daripada “hati nurani umat” dan mencerminkan jati diri Arab dan Islam, menggambarkan solidariti sejarah yang mendalam antara rakyat Jordan dan Palestin. Kedua-dua bangsa ini telah lama berkongsi pengorbanan dalam perjuangan membebaskan Palestin serta mempertahankan tempat-tempat suci umat Islam.

Hamas menegaskan bahawa sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin adalah “tanggungjawab nasional dan moral” serta hak yang diiktiraf oleh semua undang-undang dan konvensyen antarabangsa. Sokongan seperti ini, menurut Hamas, tidak seharusnya dikriminalkan, malah harus dihormati dan dihargai kerana peranannya yang penting dalam menentang penjajahan dan segala bentuk kekejaman.

Hamas juga menyampaikan penghargaan kepada setiap suara bebas dan inisiatif tulus dari Jordan serta seluruh dunia Arab yang menyumbang kepada keteguhan rakyat Palestin, sambil mengecam pencerobohan dan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlangsung di Gaza.

Kenyataan tersebut turut menyebut: “Kami menghargai pendirian Jordan yang tegas menolak rancangan pemindahan paksa terhadap rakyat kami di Gaza, dan kami menganggapnya sebagai lambang hati nurani Arab sejati yang memperkukuh ketahanan rakyat kami terhadap agenda penjajahan yang berbahaya.”

Pada 15 April, Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Jordan, Mohammad Al-Momani, mengumumkan penahanan 16 individu yang dituduh terlibat dalam penghasilan roket dan dron, memiliki bahan letupan serta senjata automatik, menyembunyikan peluru berpandu yang sedia digunakan, dan membangunkan projek pengeluaran dron. Mereka juga dilaporkan menghasilkan roket jarak dekat dengan anggaran capaian antara 3 hingga 5 kilometer.

Penterjemah : Ezatul