
Khamis, 29/05/2025 – Berikutan penyertaan beberapa “askar upahan” dalam mengatur pergerakan trak bantuan di kawasan yang dikuasai tentera penjajah Israel, pasukan keselamatan di Semenanjung Gaza melaporkan akan membalas dendam atas pengkhianatan mereka.
Kumpulan Keselamatan (Al-Haris) berkata dalam satu kenyataan, “Sepanjang sejarah, kuasa kolonial telah gagal untuk menubuhkan entiti yang setia. Setiap kuasa kolonial yang dikalahkan, baik Timur dan Barat, setelah mereka berundur pasti akan meninggalkan ejen upahan bagi mengatur keperluan mereka.”
Beliau menambah, “Kehadiran askar upahan dalam proses pengagihan bantuan mendedahkan bahawa bantuan ini tidak pernah menjadi visi keselamatan negara, sebaliknya kaedah baharu yang digunakan oleh musuh untuk mencapai matlamat perisikan, ketenteraan dan politik.”
Jelasnya lagi bahawa askar upahan yang berselindung di belakang kuasa musuh sehingga membunuh dan merompak, tidak akan terlepas daripada hukuman diatas pengkhianatan yang dilakukan, walaupun ia akan mengambil sedikit masa. Pasukan itu juga menyeru agar rakyat Palestin di Semenanjung Gaza untuk terus menunjukkan solidariti dan sokongan kepada pasukan keselamatan dalam mendapatkan bantuan dan melindungi barisan hadapan.
Gerakan Pertahanan Islam (Hamas) berkata pada awal pagi hari ini bahawa halangan kerajaan penjajah Israel terhadap kemasukan bantuan ke Semenanjung Gaza adalah dasar yang jelas dan sistematik untuk meneruskan rancangan kebuluran yang dikenakan kepada orang awam yang tidak bersalah.
Tambah mereka lagi bahawa rancangan penjajah ini bertujuan untuk dijadikan sebagai alat untuk mewujudkan kelangsungan politik dan ketenteraan, sedangkan projek bantuan yang mengelirukan ini telah pun ditolak oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan antarabangsa, kerana jelas tidak mencapai standard bantuan kemanusiaan walaupun pada paras minima.
Sekali lagi Hamas turut mengesahkan komitmennya mengutamakan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan institusi kemanusiaannya dalam mengagihkan dan menyelia bantuan sekaligus menganggap sebarang percubaan untuk memintas atau meminggirkan peranan ini sebagai “tindakan berbahaya, meragukan, dan melanggar undang-undang antarabangsa”
Sebagai info, sejak 2 Mac, tiada sebarang bantuan kemanusiaan berjaya memasuki Gaza.
Penterjemah : Halimah