
Khamis, 12/06/2025 – Gerakan Hamas menyatakan bahawa pihak penjajah Israel telah menukar apa yang disebut sebagai “pusat bantuan Amerika-Israel” menjadi perangkap maut secara sistematik, memancing orang awam yang kelaparan hanya untuk disasarkan dengan tembakan.
Dalam kenyataan akhbar, Hamas menegaskan bahawa dasar-dasar kerajaan Benjamin Netanyahu yang melibatkan tindakan kelaparan, pembunuhan dan eksploitasi bantuan kemanusiaan merupakan jenayah perang dan tindakan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan secara terbuka di hadapan dunia.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai respons terhadap serangan tentera Israel awal hari ini yang menyasarkan puluhan orang awam berhampiran dua pusat pengagihan bantuan di barat Rafah dan selatan Bandar Gaza, mengakibatkan kematian 14 rakyat Palestin—satu pengulangan pembunuhan sistematik di bawah samaran kemanusiaan palsu.
Hamas menggesa supaya operasi di pusat pengagihan bantuan yang mencurigakan dan dikendalikan tentera ini dihentikan serta merta, dan bantuan diserahkan sepenuhnya kepada Pertubuhan Bangsa‑Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi-agensinya sebagai badan sah dan berkecuali untuk menyalurkan bantuan ke Semenanjung Gaza.
Penterjemah : Norshuhada Samudin