
Rabu, 25/06/2025 – Media rasmi kerajaan Iran mengumumkan Ahad bahawa parlimen Iran telah meluluskan usul untuk menutup Selat Hormuz, salah satu laluan perkapalan minyak yang strategik dan paling penting di dunia, sebagai tindak balas kepada serangan tentera AS ke atas tiga tapak nuklear di dalam Iran.
Bagaimanapun, keputusan itu kini menunggu kelulusan akhir daripada Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran.
Komander Pengawal Revolusi Esmaeil Kousari menyatakan bahawa “pelaksanaannya adalah dalam agenda dan akan dilakukan sekiranya perlu.”
Selat Hormuz ialah salah satu laluan maritim paling kritikal di dunia, berfungsi sebagai pintu jalan masuk utama untuk eksport minyak dari rantau Teluk. Ianya terletak di antara Iran di utara dan Oman dan UAE di selatan. Ia merupakan laluan air yang sempit menghubungkan Teluk Parsi dengan Laut Arab. Kira-kira 20 peratus daripada bekalan minyak global, lebih 17 juta tong sehari, melalui selat strategik ini, menjadikannya penting untuk pasaran tenaga antarabangsa.
Terdahulu pada hari Ahad, presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa tentera Amerika melakukan apa yang disifatkannya sebagai “serangan yang sangat berjaya” ke atas kemudahan nuklear Iran di Fordo, Natanz, dan Isfahan.
Penterjemah : Hj Fariz