
Isnin, 07/07/2025 – Pasukan Pertahanan Awam Palestin di Semenanjung Gaza mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 70 orang awam telah terkorban dalam siri serangan udara oleh tentera penjajah Israel yang menyasarkan lebih 25 buah rumah kediaman, termasuk lima kawasan tumpuan orang awam, sejak awal pagi tadi di Bandar Gaza.
Jurucakap Direktorat Agung Pertahanan Awam, Mahmoud Basal, memaklumkan bahawa antara mangsa yang syahid termasuk 11 individu yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan, 12 kanak-kanak, dan 14 wanita. Lebih daripada 200 mangsa turut mengalami kecederaan, sebahagiannya dalam keadaan parah dan kritikal.
Operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan, khususnya di rumah milik keluarga Abu Samra yang dibom petang tadi di Jalan Kashko, kawasan Al-Zaytoun, timur Gaza. Menurut laporan awal, lebih 30 orang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan enam tingkat tersebut.
Selain itu, lebih 25 orang awam, termasuk yang masih hidup dan yang telah terkorban, masih tertimbus di bawah runtuhan rumah milik keluarga Dahdah berhampiran Masjid Al-Joulani di kawasan Al-Tuffah, juga di timur Gaza. Bagaimanapun, pasukan penyelamat masih belum dapat mencapai lokasi tersebut akibat serangan berterusan oleh tentera Israel yang menyasarkan kawasan penyelamatan.
Serangan kejam ini merupakan sebahagian daripada siri pengeboman yang telah berlangsung selama 634 hari berturut-turut, menandakan fasa berpanjangan pembunuhan kejam terhadap penduduk awam Palestin. Serangan dilakukan secara terang-terangan, di siang hari, malah disiarkan secara langsung kepada dunia — namun masyarakat antarabangsa masih gagal mengambil tindakan bermakna bagi menghentikan keganasan ini.
Penterjemah : Ezatul