Categories
Berita Semasa

7 Agensi PBB: Kekurangan bahan api meletakkan Gaza diambang krisis kesihatan yang kritikal

Rabu, 16/07/2025 – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran pada hari Sabtu bahawa situasi di Jalur Gaza telah mencapai tahap kritikal apabila bekalan bahan api semakin kurang dan mengancam untuk menambahkan lagi penderitaan penduduk.

Dalam satu kenyataan bersama, tujuh agensi PBB menekankan bahawa selepas hampir dua tahun perang, penduduk Gaza menghadapi kesukaran yang melampau, terutamanya masalah bekalan makanan yang terganggu. “Apabila bahan api habis, ia akan menambah beban yang amat berat  kepada orang ramai yang sudah berada di ambang kebuluran,” kata agensi-agensi tersebut.

Mereka menekankan keperluan bahan api untuk mengendalikan hospital, sistem air, rangkaian pembetungan, ambulans, dan semua aspek operasi kemanusiaan, dan tidak ketinggalan kedai roti juga memerlukan bahan api untuk beroperasi

Jalur Gaza yang dikepung telah menghadapi kekurangan bahan api yang parah sejak permulaan perang yang menghancurkan, dicetuskan oleh serangan yang dilancarkan oleh Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Agensi-agensi termasuk Pejabat PBB untuk Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dan Program Makanan Sedunia memberi amaran bahawa “kekurangan bahan api di Gaza telah mencapai tahap kritikal.” Mereka menegaskan semula bahawa “selepas hampir dua tahun peperangan, penduduk Gaza menderita dengan teruk, terutamanya disebabkan oleh keadaan ketidakamanan makanan yang meluas.” Kekurangan bahan bakar meletakkan beban yang terlalu berat kepada orang-orang yang sudah berada di ambang kebuluran.

Mereka berkata agensi-agensi yang bertindak terhadap krisis kemanusiaan secara besar-besaran di kawasan yang musnah akibat pengeboman Israel dan terancam dengan kebuluran mungkin terpaksa menghentikan operasi mereka sepenuhnya jika tidak menerima bekalan bahan api yang mencukupi.

“Ini bermakna tiada penjagaan kesihatan, tiada air bersih, dan tiada kemampuan untuk memberikan bantuan,” kenyataan itu diteruskan. “Tanpa bahan bakar yang mencukupi, usaha bantuan kemanusiaan di Gaza berisiko untuk runtuh.” Agensi-agensi memberi amaran: “Tanpa bahan api, kedai roti dan dapur komuniti juga tidak dapat beroperasi.” Sistem air dan sanitasi akan terhenti, menghalang keluarga daripada mendapatkan air minum yang selamat, sementara sisa pepejal dan najis terkumpul di jalanan.

Agensi-agensi tersebut berkata bahawa “keadaan ini mendedahkan keluarga kepada wabak penyakit yang merbahaya dan orang-orang yang paling terdedah di Gaza semakin hampir di ambang maut.”

Amaran itu datang hanya beberapa hari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berjaya membawa bahan api ke Gaza buat kali pertama dalam 130 hari. Walaupun agensi-agensi menyambut baik perkembangan ini, mereka menekankan bahawa 75,000 liter bahan api yang dihantar hanyalah “sebahagian kecil daripada apa yang diperlukan setiap hari untuk mengekalkan kehidupan asas dan memastikan penghantaran bantuan kritikal.”

Mereka menekankan bahawa “agensi kemanusiaan PBB dan rakan-rakan tidak melampau memberikan penekanan  saat ini.” Mereka menambah, “Bahan api mesti dibenarkan masuk ke Gaza dalam kuantiti yang mencukupi dan secara berkala untuk menyokong operasi menyelamatkan nyawa.”

Pada hari Jumaat, Kementerian Kesihatan memberi amaran bahawa kegagalan untuk menyediakan kuantiti bahan api yang diperlukan kepada jabatan hospital telah memaksa mereka  melaksanakan dasar penjimatan, termasuk memadamkan kuasa letrik kepada beberapa jabatan dan menangguhkan atau menghentikan perkhidmatan tertentu seperti dialisis.

Kementerian menjelaskan bahawa dasar penjimatan ini mengurangkan keupayaan untuk mengendalikan jumlah ambulans yang mencukupi, memaksa orang awam untuk mengangkut yang cedera dan sakit menggunakan kereta kuda. Ia menambah bahawa pesakit,terutamanya mereka yang nyawanya bergantung pada peralatan sokongan hayat di unit rawatan rapi dan unit lain sekarang sentiasa berada di ambang kematian.

Penterjemah : Hj Fariz