Categories
Berita Semasa

Puluhan rakyat Gaza terbunuh termasuk 73 orang pencari bantuan makanan akibat serangan Israel

Selasa, 22/07/2025 – Tentera pendudukan Israel meneruskan pada malam tadi dan hari Ahad untuk melakukan serangan maut di beberapa kawasan di Semenanjung Gaza yang telah membunuh dan mencederakan berpuluh-puluh orang awam.

Menurut sumber media tempatan, tentera Israel juga terus meletupkan dan mengebom lebih banyak rumah serta memindahkan keluarga di Semenanjung Gaza hari ini, seterusnya memparahkan lagi krisis kemanusiaan  ketika penduduk bergelut dengan kebuluran yang semakin teruk.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan bahawa pasukan pendudukan Israel telah membunuh dan mencederakan berpuluh-puluh pencari bantuan di kawasan pengagihan yang disokong AS sejak awal pagi.

73 daripada mereka yang terbunuh adalah pencari bantuan dan lebih 150 lagi mengalami kecederaan, ramai dalam keadaan kritikal, tiba hari ini di hospital yang berbeza, kata kementerian kesihatan.

Tentera Israel juga mengebom khemah yang menempatkan keluarga yang dipindahkan di kawasan al-Mawasi di Khan Yunis di selatan Gaza, membunuh tujuh orang, termasuk seorang kanak-kanak perempuan, dan mencederakan yang lain.

Pekerja pertahanan awam mengalami kecederaan apabila pasukan Israel menyerang mereka di kawasan al-Qarara di utara Khan Yunis.

Dua kanak-kanak juga meninggal dunia akibat kecederaan yang mereka alami pada petang Sabtu dalam serangan Israel ke atas khemah di kawasan al-Mawasi di Khan Yunis.

Kereta kebal Israel juga melepaskan tembakan langsung dan peluru ke arah sekumpulan rakyat di kawasan al-Tina di selatan Khan Yunis, membunuh dua daripada mereka dan mencederakan 20 yang lain.

Terdapat juga laporan korban, termasuk syuhada, selepas dron Israel menggugurkan bom ke atas orang awam berhampiran kolam Sheikh Radwan di Bandar Gaza.

Razan Abu Zaher yang berusia 4 tahun disahkan meninggal dunia hari ini di Hospital Shuhada al-Aqsa akibat mengalami malnutrisi dan kebuluran yang teruk.

Berpuluh-puluh orang juga syahid atau cedera dalam serangan Israel ke atas pencari bantuan berhampiran pusat pengedaran yang disokong AS di selatan dan tengah Gaza.

Tentera Israel juga melancarkan serangan ke kawasan lain di Semenanjung Gaza malam tadi dan hari ini, membunuh dan mencederakan lebih ramai orang awam, termasuk kanak-kanak dan wanita.

Sementara itu, beberapa penduduk Gaza disahkan meninggal dunia selepas menghembuskan nafas terakhir akibat kecederaan yang dialami dalam serangan baru-baru ini.

Penterjemah : Hj Fariz