
Isnin, 04/08/2025 – Kementerian Dalam Negeri di Gaza telah menuduh tentera Zionis sengaja menyebarkan huru-hara di seluruh Semenanjung dengan menyasarkan konvoi bantuan kemanusiaan dan menyokong rangkaian terancang perompak, dalam usaha yang dikira untuk menghalang bantuan daripada mencecah lebih dua juta orang awam yang kelaparan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Khamis, kementerian itu berkata tentera Zionis (IOF) secara sistematik menyerang kakitangan yang ditugaskan untuk menjaga trak bantuan, termasuk yang diawasi oleh agensi antarabangsa, untuk mengganggu penghantaran tersusun dan mengekalkan kekacauan.
“Pendudukan tidak boleh bertolak ansur dengan sebarang keteraturan dalam masyarakat Gaza,” kenyataan itu berbunyi, memberi amaran bahawa tindakan sedemikian adalah sebahagian daripada kempen yang lebih luas untuk menjadikan kelaparan suatu senjata.
Usaha oleh keluarga dan puak tempatan untuk melindungi konvoi bantuan juga dilaporkan digagalkan, kerana IOF menyasarkan dan membunuh berpuluh-puluh sukarelawan muda. Kementerian berkata ini usaha untuk mengagalkan inisiatif akar umbi dan menyekat penyelesaian yang diterajui komuniti.
Penterjemah : Ameen