
Jumaat, 08/08/2025 – Lebih 100 orang wartawan, jurufoto, dan koresponden perang peringkat antarabangsa telah menandatangani satu petisyen yang menuntut akses segera dan tanpa sekatan ke Semenanjung Gaza untuk membuat liputan perang yang sedang berlangsung.
Petisyen itu dilancarkan di bawah inisiatif “Hak untuk Melindungi” oleh jurugambar perang yang memenangi anugerah, Andre Liohn, menggesa kedua-dua Israel dan Hamas untuk memberikan akses penuh dan bebas kepada media untuk melaporkan dari lapangan.
Penandatangan petisyen termasuk tokoh-tokoh terkemuka dari saluran global terkemuka seperti Alex Crawford dari Sky News, wartawan Mehdi Hassan, Clarissa Ward dari CNN, dan jurugambar perang terkenal Don McCullin. Mereka menekankan bahawa larangan semasa terhadap wartawan asing sejak perang bermula pada tahun 2023 merupakan pelanggaran yang jelas terhadap hak orang ramai untuk mengetahui.
“Ini bukan hanya tentang Gaza,” petisyen itu memaklumkan. Ini adalah mengenai perlindungan kebebasan akhbar di seluruh dunia. Hak kebenaran tidak boleh dijadikan sebagai domain eksklusif bagi mereka yang menggunakan senjata dan mengawal naratif.”
Inisiatif “Hak untuk Melindungi” berjanji untuk menyokong kemasukan wartawan ke Gaza “melalui sebarang cara yang sah,” sama ada secara bebas atau dengan kerjasama organisasi kemanusiaan atau masyarakat sivil. Petisyen itu menegaskan bahawa kehadiran media bukan sahaja perlu untuk mendokumentasikan kekejaman, tetapi juga penting untuk mengelakkan manipulasi suasana realiti di lapangan oleh pihak-pihak yang terlibat dalam konflik.
Hamas mengalukan inisiatif itu dan mengutuk dasar berterusan Israel yang menghalang wartawan antarabangsa daripada memasuki Gaza sebagai usaha yang disengajakan untuk menutup kebenaran dan menyembunyikan jenayah perangnya.
Ezzat al-Resheq, seorang anggota biro politik Hamas, menyifatkan larangan itu sebagai “jenayah tambahan di dalam senarai panjang jenayah kuasa pendudukan Israel terhadap profesion media di Gaza, Tebing Barat, dan Baitulmaqdis yang diduduki.”
Al-Resheq menyatakan bahawa sejak permulaan perang, 233 wartawan dan pekerja media Palestin telah syahid, dia menyeru masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan tekanan hukuman jenayah bagi tindakan tersebut dan memastikan wartawan dibenarkan untuk menyaksikan dan melaporkan realiti sebenar jenayah pembunuhan beramai-ramai, kebuluran, dan kemusnahan yang dilakukan ke atas rakyat Gaza.
Sejak 7 Oktober 2023, Israel telah melancarkan perang genosid di Gaza dalam bentuk tindakan pembunuhan secara beramai-ramai, pemindahan paksa, kebuluran sistematik, dan kemusnahan infrastruktur awam.
Walaupun menerima kecaman dari pihak antarabangsa dan juga terikat dengan keputusan daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa, perang itu masih berterusan dengan sokongan penuh daripada US. Sehingga kini, lebih 210,000 rakyat Palestin telah syahid atau cedera, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 9,000 rakyat masih hilang di dalam suasana krisis kebuluran yang menjejaskan ratusan ribu rakyat Gaza.
Penterjemah : Hj Fariz