
Khamis, 14/08/2025 – Seorang anggota paramedik Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin telah cedera pada petang Isnin ketika memberikan respons terhadap satu panggilan kecemasan susulan serangan tentera Israel yang menyasarkan sebuah rumah berhampiran Kolej Universiti, di barat daya kawasan kejiranan Al-Zaytoun, Gaza.
Bulan Sabit Merah memaklumkan bahawa anggota paramedik, Diaa Mohammed Suleiman Al-Bayouk, mengalami kecederaan serpihan peluru di bahu kanan akibat tembakan artileri. Beliau segera dibawa ke Hospital Al-Quds, dan keadaannya dilaporkan stabil.
Direktorat Jeneral Pertahanan Awam di Semenanjung Gaza mengecam sikap berterusan Israel yang mengabaikan undang-undang serta perjanjian kemanusiaan antarabangsa, dengan menegaskan bahawa Israel secara konsisten enggan meluluskan sebahagian besar permohonan koordinasi yang dikemukakan oleh direktorat tersebut melalui pertubuhan antarabangsa dan kemanusiaan sejak berakhirnya gencatan senjata pada bulan Mac yang lalu.
Penterjemah : Neina