Categories
Berita Semasa

Hamas: Zionis Serang Orang Awam Sekitar Al-Shifa 

Jumaat, 19/09/2025 – Pergerakan Hamas menyatakan bahawa serangan udara yang dilakukan oleh Zionis petang ini, yang menyasarkan orang awam berhampiran Hospital Al-Shifa ketika mereka berpindah dari Kota Gaza dan mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 15 orang, merupakan “jenayah perang penuh”

Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan pada petang Rabu, Hamas berkata pembunuhan beramai-ramai ini “mendedahkan kebiadaban entiti Israel, yang memburu orang awam walaupun sedang berpindah,” menyifatkan ia sebagai sebahagian daripada “dasar sistematik pembunuhan beramai-ramai yang dijalankan terhadap rakyat Palestin selama hampir dua tahun dalam pandangan penuh dunia.”

Hamas menyatakan bahawa “pembunuhan beramai-ramai ini, bersama-sama dengan jenayah harian yang dilakukan di pelbagai bahagian di Semenanjung Gaza, berlaku kurang daripada 24 jam selepas laporan PBB mendokumentasikan tindakan Zionis melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.” Pergerakan itu menyifatkan serangan itu sebagai “cabaran terang-terangan dan penghinaan yang mendalam terhadap masyarakat antarabangsa, dan pelanggaran berat terhadap undang-undang dan perjanjian antarabangsa.”

Hamas menyeru negara-negara Arab dan Islam, serta masyarakat antarabangsa yang lebih luas, untuk “bertindak segera dan serius untuk menghentikan jenayah ini,” dan menuntut agar pemimpin pendudukan bertanggungjawab di hadapan Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk memastikan mereka tidak terlepas daripada keadilan.

Pada awal petang, tentera Zionis melakukan pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan terhadap sebuah keluarga yang dipindahkan di pintu masuk Kompleks Perubatan Al-Shifa di Bandar Gaza, membunuh sekurang-kurangnya 13 orang dan mencederakan yang lain.

Sumber tempatan mengesahkan bahawa pesawat pejuang Zionis menyasarkan kenderaan awam yang membawa ahli keluarga ketika mereka cuba melarikan diri ke selatan, yang membawa kepada pembunuhan beberapa individu.

Penterjemah : Ameen