
Selasa, 07/10/2025 – Ketua delegasi perunding Hamas, Khalil al-Hayya, muncul dalam satu rakaman video yang dikongsi oleh Pergerakan Palestin — kemunculan pertamanya sejak beliau terselamat daripada cubaan pembunuhan oleh Israel melalui serangan peluru berpandu di Qatar.
Dalam video pendek yang dikeluarkan oleh Hamas itu, al-Hayya dilihat menyampaikan ucapan kepada orang ramai sambil berkata:
“Apa yang saya saksikan setiap hari — pembunuhan dan kemusnahan di Gaza — membuatkan saya lupa akan kesakitan kehilangan anak-anak dan orang tersayang.”
Beliau menambah,
“Hari ini kita hidup dalam bayangan duka dan maruah. Walaupun kita telah kehilangan ribuan nyawa — wanita, kanak-kanak, dan warga tua — namun Allah Yang Maha Esa telah memuliakan kita dengan menjadikan anak-anak, cucu, saudara, dan keluarga kita sebahagian daripada mereka. Kita adalah sebahagian daripada keluarga besar ini — rakyat Palestin, khususnya rakyat Gaza.”
Cubaan pembunuhan terhadap al-Hayya berlaku pada 9 September, apabila Israel melancarkan serangan udara yang menyasarkan beberapa pemimpin Hamas di Doha, ibu negara Qatar, ketika mereka sedang berbincang mengenai cadangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat.
Serangan itu mengorbankan pengarah pejabat al-Hayya, Jihad Labad, anaknya Homam al-Hayya, tiga orang pembantu, serta seorang pegawai keselamatan Qatar.
Penterjemah : Ezatul