
Isnin, 10/11/2025 – Kebimbangan semakin memuncak di Semenanjung Gaza apabila kesan perang Israel dan kemusnahan infrastruktur yang meluas, berterusan, sehingga menyebabkan penduduk berdepan keadaan alam sekitar dan kesihatan yang mengancam nyawa mereka.
Di Khan Younis, penduduk al-Amari melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan paras air di loji kumbahan akibat bercampur dengan air hujan. Di tengah-tengah amaran tentang ancaman banjir di kawasan perumahan berdekatan, peningkatan paras air di loji kumbahan boleh mengakibatkan bencana alam sekitar. Kekurangan sistem perparitan yang baik dan kemerosotan infrastruktur seperti hospital akan memburukkan lagi keadaan.
Rangkaian NGO di Gaza mengesahkan bahawa negara itu masih mengalami ancaman kebuluran. Fakta menunjukkan bahawa bantuan kemanusiaan yang masuk melalui Lintasan Rafah hanya mencakupi 30% daripada keperluan asas dimana UNRWA sebagai tulang belakang kerja kemanusiaan walaupun dengan keupayaan dan kemudahan yang terhad.
Stefanos Fotiou, pengarah Pusat Penyelarasan Sistem Makanan PBB, menggesa pembukaan segera lintasan untuk memulihkan sistem bekalan makanan di Gaza, sekaligus menekankan keperluan untuk memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke dalam sektor yang terkepung.
UNRWA mengumumkan bahawa kira-kira 75,000 orang yang kehilangan tempat tinggal berlindung di lebih 100 bangunannya, walaupun mengalami kerosakan besar akibat pengeboman. Agensi itu menyifatkan keadaan di tempat perlindungan sebagai “sangat huru-hara”. Kekurangan bekalan air dan makanan serta penyebaran penyakit akibat sanitasi yang buruk menjadi punca tersebut.
Agensi itu juga memberi amaran tentang keruntuhan sistem kemanusiaan sepenuhnya jika tindakan antarabangsa tidak diambil segera dalam memastikan keselamatan dan perlindungan terhadap orang awam.
Penterjemah : Halimah