Categories
Berita Semasa

Tahanan Palestin menderita disebabkan kesejukan, kelaparan dan penyiksaan harian di penjara Ofer

Isnin, 17/11/2025 – Suruhanjaya bagi Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan mendedahkan penderitaan tahanan Palestin di kem Gilad di dalam Penjara Ofer yang semakin teruk, di samping gangguan kepada tahanan yang berterusan setiap hari dan dikenakan tindakan sekatan yang keras pada setiap aspek kehidupan mereka.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, peguam Suruhanjaya berkata bahawa kem itu menempatkan antara 100 dan 120 banduan yang diagihkan di 12 bilik, setiap satu mengandungi sekitar 16 tahanan. Beliau menyatakan bahawa banduan mengalami kekurangan bekalan pakaian dan kebersihan; baju dan seluar dalam diganti hanya sekali seminggu, manakala seluar ditukar hanya jika koyak, memaksa ramai banduan memakai seluar yang sama berbulan lamanya.

Beliau menambah bahawa banduan dipaksa mandi setiap hari menggunakan air sejuk dan di kawasan terbuka, menggunakan sabun basuh pinggan dan bukannya syampu di dalam dua tempoh waktu “riadah” pada waktu pagi dan petang dan setiap satu waktu tersebut tempohnya tidak lebih daripada dua puluh minit.

Bagi makanan pula, tahanan memaklumkan bahawa mereka diberikan makanan seperti yogurt dan roti, manakala makanan seperti sosej dan tuna hanya diberi seminggu sekali sahaja.

Menurut laporan Suruhanjaya lagi, keadaan tempat tidur tahanan amat tidak memuaskan: katil besi hanya dialaskan dengan tilam yang amat nipis memaksa sebahagian tahanan tidur di atas lantai disebabkan ruang yang terhad di dalam bilik. Setiap tahanan diberikan satu helai selimut dan tuala yang ditukar hanya selepas beberapa minggu dan selalunya tidak bersih pula.

Tahanan juga memaklumkan bahawa cuaca sejuk di dalam kem menambahkan lagi penderitaan mereka bila angin dan air hujan sejuk masuk ke dalam bilik melalui tingkap-tingkap besi yang terbuka. Mereka juga mengesahkan menerima serbuan dan hukuman setiap hari di atas sebab-sebab yang remeh dan tidak munasabah contohnya seperti berdiri di tepi tingkap ataupun solat secara jemaah.

Laporan itu mengatakan bahawa pihak berkuasa penjara melaksanakan tindakan hukuman seperti pengasingan, pukulan atau renjatan elektrik, seperti yang dilakukan kepada banduan Mohammed al-Qadi dari kem Al-Jalazon dan Ali Abu Atiya dari Beitunia. Sheikh Jamal Al-Tawil juga telah disembur dengan gas selepas dia enggan mengucapkan perkataan Ibrani “Toda” (terima kasih) kepada pegawai yang bertugas.

Tahanan selanjutnya melaporkan bahawa mereka dipaksa berlutut semasa panggilan pemeriksaan harian sebanyak 4 kali sehari dan dilarang tidur selepas jam 6 pagi ataupun berjaga lewat malam. Kaki dan tangan mereka juga dibelenggu, Mata ditutup sewaktu lawatan, dan dipaksa berjalan dengan kepala menunduk ke tanah.

Suruhanjaya mengesahkan bahawa amalan yang dilaksanakan secara jelas telah melanggar piawaian kemanusiaan yang paling asas dan Konvensyen Geneva dan pihaknya juga memberi amaran tentang keadaan tahanan yang semakin parah di dalam penjara-penjara Israel.

Penterjemah : Hj Fariz