Categories
Berita Semasa

Pegawai Hamas berkata tahanan Palestin berdepan dengan kematian perlahan di penjara Israel

Khamis, 20/11/2025 – Pegawai kanan Hamas Abdul-Rahman Shadeed telah memberi amaran bahawa tahanan Palestin sedang berhadapan dengan percubaan membunuh mereka secara perlahan di dalam penjara Israel

Serangan terhadap tahanan Marwan Barghouti di penjara Gilboa merupakan sebahagian daripada sistem polisi penyeksaan yang dilaksanakan oleh pentadbiran penjara (Israel) di bawah arahan kepimpinan politik, kata Shadeed di dalam satu kenyataan pada hari Selasa.

“Apa yang berlaku di penjara Israel mencerminkan ancaman yang dibuat oleh menteri pelampau Itamar Ben Gvir yang menyasarkan tahanan dan pemimpin mereka,” tambah Shadeed.

Pegawai Hamas itu memberi amaran bahawa Barghouthi dan tahanan lain berhadapan risiko kesihatan yang merosot kerana dihalang untuk mendapat rawatan perubatan dan dia juga menuduh pentadbiran penjara Israel cuba mematahkan semangat  banduan.

Shadeed menyeru masyarakat antarabangsa dan kumpulan hak asasi manusia untuk mengambil tindakan segera untuk melindungi tahanan Palestin daripada jenayah Israel di dalam penjara.

Dalam isu yang berkaitan, Abdullah al-Zaghari, ketua Persatuan Tahanan Palestin, berkata bahawa laporan yang dikeluarkan oleh Pakar Perubatan untuk Hak Asasi Manusia di Israel baru-baru ini merekodkan 94 kematian tahanan Palestin di penjara Israel dari permulaan perang genosid hingga Ogos 2025, dengan empat kematian tambahan diumumkan kemudian, menjadikan jumlah keseluruhan menjadi 98 orang dan kemungkinan besar jumlah sebenar kematian melebihi satu ratus kematian. Zaghari menjelaskan bahawa jumlah ini tidak termasuk banduan yang ditembak sebelum mereka ditangkap dan kemudiannya meninggal dunia di hospital Israel, dan juga tidak termasuk berpuluh-puluh lain yang dihukum bunuh sejurus selepas ditahan.

Penterjemah : Hj Fariz