
Isnin, 01/12/2025 – Gerakan Hamas telah menggesa mahkamah antarabangsa untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap organisasi yang dikenali sebagai “Gaza Humanitarian Foundation (GHF)” atas jenayah terhadap rakyat Palestin.
Dalam satu kenyataan, Hamas menyatakan bahawa pengumuman organisasi Amerika itu untuk menamatkan operasinya di Semenanjung Gaza dibuat selepas siri pembunuhan beramai-ramai harian sepanjang peperangan yang sedang berlangsung, dan menuduhnya turut menyumbang kepada pembunuhan rakyat Palestin yang kebuluran serta mereka yang sedang mencari bantuan.
Gerakan itu menegaskan bahawa penutupan yayasan tersebut merupakan langkah yang wajar terhadap entiti yang “bersekongkol dengan projek pembunuhan beramai-ramai dan kelaparan yang dirancang bersama penjajahan Zionis.”
Hamas menegaskan bahawa sejak awal kemasukan ke Gaza, yayasan itu telah beroperasi seolah-olah sebagai sebahagian daripada aparat keselamatan penjajah, dengan menggunakan kaedah pengagihan yang langsung tidak mencerminkan kerja kemanusiaan.
Kaedah ini telah mencetuskan keadaan yang bahaya dan menghinakan bagi orang awam yang cuba mendapatkan makanan, mengakibatkan ribuan syahid dan kecederaan akibat tembakan penembak tepat dan pembunuhan sengaja, sekali gus mendedahkan penglibatan yayasan itu dalam jenayah pembunuhan beramai-ramai.
Penterjemah : Norshuhada Samudin