Categories
Berita Semasa

Nelayan Gaza: Kematian, Penindasan, Dan Hak Yang Hilang

Rabu, 24/12/2025 – Seperti sektor yang lain, sektor perikanan di Semenanjung Gaza juga tidak lari dari mengalami tempoh yang paling sukar dalam sejarah yang disebabkan oleh jenayah dan pelanggaran tanpa henti Zionis yang telah mengubah landskap penangkapan ikan. Tugasan yang sepatutnya menjadi sumber pendapatan utama untuk beribu-ribu keluarga sebaliknya menjadi pintu kepada penderitaan harian yang penuh dengan kematian, penahanan dan kehilangan.

Laut yang selama beberapa dekad menjadi saluran ekonomi dan sosial bagi penduduk sektor itu, kini menjadi arena tembakan terbuka untuk sasaran langsung penjajah. Ironinya ia turut menjadi rangka sistematik yang bertujuan untuk memusnahkan sektor perikanan sekaligus menghilangkan sumber mata pencarian penduduk yang sedia terjejas.

Sejak permulaan pencerobohan yang lalu, penjajah telah meningkatkan serangannya terhadap nelayan, melalui tembakan langsung, aksi kejar-mengejar, penangkapan, perampasan bot dan peralatan, serta mengenakan sekatan ketat di kawasan nelayan. Semua tindakan itu akhirnya telah memberi kesan buruk kepada realiti kehidupan dan ekonomi beribu-ribu keluarga Palestin yang dikaitkan dengan profesion ini.

DITAHAN, DICEDERAKAN ATAU SYAHID

 Zakaria Bakr, ketua jawatankuasa nelayan, menyatakan bahawa penjajah tidak teragak-agak melakukan jenayah berat terhadap nelayan. Tindakan mereka mengakibatkan antaranya kematian syahid 32 nelayan manakala berpuluh-puluh lagi yang lain cedera. Seramai 28 nelayan yang lain juga ditahan tanpa sebab baru-baru ini. 

 Dalam satu kenyataan khas kepada Pusat Informasi Palestin itu, beliau menjelaskan lagi, bahawa sektor perikanan mengalami kerugian bulanan dianggarkan kira-kira 5 juta akibat daripada pemberhentian kerja dan kelumpuhan trafik maritim. Beliau menegaskan bahawa kerugian ini secara langsung menjejaskan kira-kira 5,000 keluarga Palestin yang bergantung pada hasil menangkap ikan sebagai sumber pendapatan utama.

 Beliau yang juga merupakan seorang kapten mendedahkan bahawa jumlah kerugian yang ditanggung oleh sektor perikanan setakat ini menghampiri 700 juta, akibat daripada kemusnahan berleluasa yang dilakukan oleh penjajah terhadap infrastruktur sektor itu. Kemusnahan yang dilakukan adalah termasuk kemusnahan bangunan nelayan, bot-bot kecil, kenderaan, serta semua peralatan dan bekalan yang berkaitan dengan profesion itu.

Bakr juga menyatakan bahawa sehingga kini pasukan penjajah masih menghalang mana-mana kapal nelayan daripada memasuki laut atau mengehadkan hanya beberapa meter sahaja jarak yang dibenarkan untuk menangkap ikan dan hanya beberapa bot kecil sahaja yang dibenarkan untuk beroperasi. 

Apa yang lebih malang lagi, nelayan yang terpaksa bekerja dalam kawasan terhad ini turut didedahkan dengan tembakan rambang, penangkapan atau rampasan peralatan mereka selain dicederakan. 

Beliau juga menekankan bahawa nelayan di Gaza benar-benar bekerja di bawah ancaman kematian, tidak mempunyai sebarang pelindungan keselamatan dan menghadapi sasaran berterusan yang tidak menghiraukan undang-undang antarabangsa dan peraturan untuk melindungi orang awam. Beliau memberi amaran bahawa penerusan dasar ini mengancam keruntuhan sepenuhnya sektor perikanan dan memburukkan lagi keadaan kemanusiaan untuk beribu-ribu keluarga. 

Bakr menggesa campur tangan segera antarabangsa untuk melindungi nelayan Palestin, menghentikan serangan Israel yang berterusan, dan menarik balik sekatan ke atas menangkap ikan. 

Beliau menganggap penjajah bertanggungjawab sepenuhnya atas jenayah dan kerugian kemanusiaan serta ekonomi yang ditimbulkan ke atas sektor penting ini.

Penterjemah : Halimah