
Rabu, 06/05/2026 – Pergerakan Hamas pada hari Ahad menyeru agar usaha menentang pendudukan Israel diperkukuh, dengan menyatakan bahawa pihak tersebut terus melakukan pembunuhan dan keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat sebagai sebahagian daripada dasar keras yang bertujuan merampas wilayah, mengusir penduduk, dan melemahkan semangat rakyat Palestin.
Hamas turut merakamkan dukacita atas kematian Naif Smaro, 26 tahun, yang ditembak oleh tentera Israel di bandar Nablus. Menurut kenyataan itu, darah beliau bersama para syuhada Palestin yang lain “tidak akan tumpah sia-sia, sebaliknya akan menerangi jalan ke arah pembebasan dan penyingkiran penjajah dari tanah kami.”
Pergerakan itu menyeru golongan belia Palestin dan pejuang penentangan agar meningkatkan segala bentuk konfrontasi, mengenakan kerugian kepada pihak pendudukan, serta memastikan mereka menerima akibat daripada tindakan yang dilakukan, di samping berusaha mengekang serangan berterusan oleh pendatang Israel.
Hamas juga menggesa semua lapisan masyarakat Palestin supaya bersatu dan memperkukuh barisan dalam menghadapi pendudukan.
Terdahulu pada hari yang sama, Nablus menyaksikan satu insiden kemanusiaan yang tragis apabila tentera Israel menembak mati Naif Smaro di luar Hospital Kerajaan Rafidia.
Menurut laporan, Smaro ketika itu sedang menunggu dengan penuh debar untuk menerima berita kelahiran anak sulungnya apabila kejadian tembakan berlaku, menjadikan pintu masuk hospital yang sepatutnya menjadi tempat kegembiraan bertukar menjadi suasana duka.
Sumber di lapangan memaklumkan bahawa tentera Israel melancarkan serbuan besar-besaran di pusat bandar Nablus dengan melepaskan peluru hidup, gas pemedih mata, serta bom bunyi ke arah penduduk.
Serbuan tersebut mengakibatkan kematian Smaro dan mencederakan kira-kira 45 rakyat Palestin dengan pelbagai tahap kecederaan, dalam satu lagi peningkatan tindakan yang menyasarkan orang awam serta kemudahan awam dan perubatan.
Penterjemah : Ezatul