Categories
Berita Semasa

Amaran Terhadap Rancangan Pengusiran Khan Al-ahmar, Hamas Sifatkan Sebagai “Pembersihan Etnik”

Jumaat, 22/05/2026 – Pegawai dan pertubuhan Palestin memberi amaran terhadap implikasi langkah terbaharu Israel yang bertujuan mengusir komuniti Badwi di Khan al-Ahmar, timur Baitulmaqdis yang diduduki, selepas Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, menandatangani arahan berkaitan pemindahan penduduk kawasan tersebut. Pihak Palestin menyatakan langkah itu merupakan sebahagian daripada projek penempatan lebih besar yang bertujuan memisahkan Tebing Barat bahagian utara dan selatan serta mengukuhkan kawalan Israel ke atas Baitulmaqdis yang diduduki.

Ketua Suruhanjaya Palestin Menentang Tembok dan Penempatan, Moayad Shaaban, menyifatkan keputusan untuk mengosongkan Khan al-Ahmar sebagai peningkatan berbahaya dalam dasar pengusiran paksa Israel terhadap rakyat Palestin. Menurut beliau, tindakan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan sayap kanan Israel untuk meneruskan projek peluasan penempatan dan pengilhakan wilayah, selain memaksakan realiti baharu di lapangan secara kekerasan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari Selasa, Shaaban berkata sasaran terhadap Khan al-Ahmar merupakan sebahagian daripada pelan penempatan strategik jangka panjang yang memfokuskan kawasan timur Baitulmaqdis. Katanya, Israel berusaha mewujudkan kesinambungan wilayah sepenuhnya antara penempatan bagi memecahkan Tebing Barat yang diduduki kepada beberapa kawasan terpisah serta menggagalkan pembentukan negara Palestin yang berdaya maju dan mempunyai hubungan wilayah yang bersambung.

Beliau turut menyatakan bahawa Khan al-Ahmar telah menjadi simbol keteguhan rakyat Palestin dalam menghadapi dasar pengusiran dan peminggiran, selain membuktikan sifat penjajahan penempatan dalam projek Israel. Menurutnya, perkara itu menjelaskan mengapa Israel berulang kali cuba menghapuskan komuniti tersebut walaupun menerima bantahan antarabangsa yang meluas serta pelbagai amaran politik, kemanusiaan, dan undang-undang mengenai kesannya.

Shaaban berkata Mahkamah Jenayah Antarabangsa sebelum ini pernah menyatakan bahawa pengusiran paksa akibat dasar sedemikian boleh dianggap sebagai jenayah perang. Beliau menegaskan bahawa peluasan penempatan dan pemindahan paksa penduduk melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Konvensyen Geneva Keempat.

Beliau juga memberi amaran bahawa pelaksanaan arahan pemindahan itu boleh membuka jalan kepada pengusiran lebih banyak komuniti Palestin lain di sekitar Baitulmaqdis dan Lembah Jordan, sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mengubah landskap geografi Palestin demi kepentingan peluasan penempatan Israel.

Sementara itu, Hamas menyifatkan keputusan Smotrich untuk mengarahkan pengosongan Khan al-Ahmar dan mengusir penduduknya sebagai “satu lagi jenayah” yang dilakukan kerajaan Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki.

Dalam kenyataannya, Hamas berkata tindakan mengusir rakyat Palestin dan merampas tanah mereka untuk pembinaan ribuan unit penempatan, selain apa yang disifatkan sebagai “serangan sistematik” terhadap kewujudan rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki, merupakan bentuk “pembersihan etnik sistematik” yang berlaku secara terbuka di hadapan dunia tanpa tindakan antarabangsa yang serius untuk menghentikannya atau membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Hamas turut menyeru masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan institusi antarabangsa supaya tidak terus berdiam diri serta mengambil langkah untuk mempertanggungjawabkan pemimpin Israel, selain menghentikan sikap Israel yang mengabaikan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB yang menganggap penempatan Israel sebagai tidak sah.

Pergerakan itu juga menyatakan bahawa ancaman dan tindakan agresif Smotrich terhadap Pihak Berkuasa Palestin memerlukan perpaduan Palestin yang lebih kukuh serta pelaksanaan “program penentangan sebenar” bagi menghadapi dasar Israel di Tebing Barat, Baitulmaqdis, dan Gaza.

Penterjemah : Ezatul