
Khamis, 11/06/2026 – Pertubuhan hak asasi undang-undang, Adalah, menggesa pihak berkuasa Israel menjalankan siasatan jenayah segera berhubung dakwaan seorang wartawan wanita Jerman yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penderaan seksual, keganasan fizikal dan layanan yang menjatuhkan maruah ketika ditahan di Penjara Givon di Ramla.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, Adalah memaklumkan bahawa mereka telah mengemukakan aduan rasmi kepada Peguam Negara Israel, penasihat undang-undang Perkhidmatan Penjara Israel, unit yang bertanggungjawab menyiasat kakitangan penjara, serta pihak pengurusan Penjara Givon. Mereka menuntut siasatan menyeluruh dijalankan dan pihak yang bertanggungjawab diambil tindakan.
Kes ini bermula pada Oktober lalu apabila tentera laut Israel memintas beberapa kapal yang menyertai misi “Global Sumud Flotilla” di perairan antarabangsa. Misi tersebut melibatkan lebih 500 aktivis dan berlepas dari beberapa pelabuhan di Eropah dan Afrika dengan tujuan mencabar sekatan yang dikenakan ke atas Gaza.
Menurut Adalah, wartawan berkenaan yang hanya dikenali dengan inisial “A.L.” mendakwa beliau mengalami pelbagai bentuk penderaan sejak dipindahkan dari pelabuhan ke Penjara Ketziot di wilayah Negev. Antara dakwaan yang dibuat termasuk diikat dalam tempoh yang lama, ditutup mata, dicaci secara lisan, dipukul serta diugut.
Adalah turut menyatakan bahawa wanita tersebut mendakwa menerima layanan yang memalukan ketika ditahan di Penjara Givon. Keterangannya juga mengandungi dakwaan serangan seksual serta pelbagai pelanggaran hak asasi lain sepanjang tempoh tahanan.
Menurut pertubuhan itu, dakwaan yang serius ini memerlukan siasatan yang bebas, telus dan menyeluruh kerana ia mungkin melibatkan pelanggaran undang-undang Israel serta undang-undang antarabangsa. Dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan peguam dan pakar undang-undang antarabangsa telah mengemukakan permohonan kepada International Criminal Court untuk memperluaskan siasatan berkaitan situasi di Palestin. Permohonan itu bertujuan memasukkan dakwaan penderaan yang dilaporkan oleh aktivis Global Sumud Flotilla semasa usaha mereka untuk memasuki Gaza.
Penterjemah : Ezatul