
Khamis, 11/06/2026 – Jumlah kematian akibat serangan Israel di Bandar Gaza meningkat pada petang Selasa selepas Malak Abdullah Qaddoum, seorang kanak-kanak Palestin, meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya dua hari sebelumnya dalam serangan di barat Bandar Gaza.
Sumber tempatan berkata Malak meninggal dunia akibat kecederaannya, menyertai bapa dan kakaknya, yang terkorban dalam serangan yang sama.
Dalam kejadian berasingan, lima orang cedera dan dibawa ke Hospital Al-Awda selepas tembakan menyasarkan sebuah kenderaan berhampiran jambatan Wadi Gaza di Jalan Salah al-Din di tengah Gaza.
Menurut laporan tempatan, tembakan itu dilakukan oleh individu yang digambarkan sebagai rakan sekutu dengan pasukan Zionis, mencederakan beberapa orang awam di dalam kenderaan itu.
Kempen genosid Zionis di Gaza telah membunuh hampir 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 172,000 orang, menurut angka Palestin.
Walaupun perjanjian gencatan senjata dicapai pada Oktober tahun lepas, pasukan Israel terus melancarkan serangan di pelbagai bahagian Gaza, sementara sekatan ke atas bantuan kemanusiaan, makanan, ubat-ubatan dan bekalan tempat tinggal masih berkuat kuasa.
Penterjemah : Ameen