
Selasa, 16/06/2026 – Pergerakan Hamas merakamkan ucapan takziah atas pemergian tahanan Palestin, Emad Sarhan, 48, yang berasal dari Haifa, selepas syahid di dalam penjara Gilboa milik Israel setelah lebih 24 tahun berada dalam tahanan.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Hamas menyifatkan kematiannya sebagai satu lagi jenayah yang menambah senarai panjang pelanggaran terhadap tahanan Palestin.
Hamas menegaskan bahawa Sarhan syahid akibat dasar pengabaian perubatan yang disengajakan serta penyeksaan yang dikenakan terhadap tahanan Palestin di penjara-penjara Israel. Menurut Hamas, para tahanan kini berdepan pelanggaran yang semakin membimbangkan dan mengancam nyawa mereka.
“Pihak perkhidmatan penjara Israel terus menafikan hak tahanan untuk mendapatkan rawatan perubatan serta menempatkan mereka dalam keadaan yang amat sukar sebagai sebahagian daripada dasar sistematik yang bertujuan menyeksa dan mematahkan semangat mereka,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, Hamas menegaskan keyakinannya bahawa tindakan sedemikian tidak akan berjaya melemahkan ketabahan dan keazaman para tahanan Palestin.
Penterjemah : Ezatul