
Selasa, 23/06/2026 – Kementerian Kesihatan Lubnan pada Khamis mengumumkan bahawa jumlah korban akibat serangan berterusan Israel ke atas Lubnan sejak 2 Mac telah meningkat kepada 3,912 orang terbunuh, manakala 11,873 lagi cedera.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada petang Khamis, Pusat Operasi Kesihatan Kecemasan kementerian itu memaklumkan bahawa jumlah kumulatif mangsa akibat serangan Israel sepanjang tempoh 2 Mac hingga 18 Jun kini mencecah 3,912 kematian dan 11,873 kecederaan.
Angka tersebut diumumkan ketika serangan udara dan bedilan Israel terus menyasarkan beberapa bandar dan kampung di selatan Lubnan, termasuk serangan langsung terhadap kenderaan awam.
Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan bahawa seorang rakyat Lubnan terbunuh manakala seorang lagi cedera parah dalam serangan dron Israel yang menyasarkan sebuah kenderaan berhampiran bandar Kfar Tebnit di selatan negara itu.
Agensi itu turut melaporkan bahawa sebuah dron Israel menggugurkan bom di bandar Beit Yahoun di selatan Lubnan, menyebabkan dua individu cedera.
Selatan Lubnan menyaksikan peningkatan ketegangan yang berterusan sejak beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk serangan udara, bedilan artileri dan pelbagai operasi ketenteraan lain di tengah-tengah konflik yang berlarutan di kawasan sempadan.
Sementara itu, Hezbollah memaklumkan bahawa tentera Israel masih berada di pinggir selatan Kfar Tebnit berhampiran Arnoun dan pertempuran di kawasan tersebut masih berlanjutan.
Dalam kenyataan kepada media pada Khamis, kumpulan itu berkata tentera Israel telah cuba mara ke arah Kfar Tebnit dan Bukit Ali al-Taher selama empat hari berturut-turut, namun menegaskan bahawa kawasan tersebut akan terus menjadi penghalang kepada kemaraan pasukan darat Israel.
Hezbollah turut mendakwa bahawa pejuangnya telah menghadapi serangan tentera Israel menggunakan peluru berpandu dan dron, menyebabkan korban dalam kalangan tentera serta memaksa mereka berundur dari kawasan berkenaan.
Perkembangan terbaharu ini berlaku ketika pertempuran di selatan Lubnan terus memuncak, meskipun kebimbangan antarabangsa semakin meningkat terhadap kesan kemanusiaan dan keselamatan yang berpunca daripada konflik tersebut.
Penterjemah : Ezatul