
Rabu, 01/07/2026 – Jurucakap Hamas, Hazem Qassem, mengecam ketiadaan tindakan masyarakat antarabangsa selepas seorang kanak-kanak perempuan terbunuh pada petang Isnin di Khan Yunis, susulan serangan udara Israel yang mengenai khemah-khemah perlindungan keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan menyebabkan khemah-khemah tersebut terbakar.
Dalam satu kenyataan media, Qassem berkata kanak-kanak itu menyertai “puluhan ribu kanak-kanak” yang, menurut Hamas, telah terbunuh sepanjang peperangan akibat pengeboman, kebuluran, penafian rawatan perubatan, ketakutan, serta kehilangan salah seorang atau kedua-dua ibu bapa.
Beliau berkata kejadian-kejadian ini berlaku ketika “dunia hanya melihat dan mendengar tanpa mengambil tindakan,” sambil mengkritik tindak balas Liga Arab, parti-parti politik, parlimen, para ulama, dan golongan intelektual di seluruh dunia Arab, serta Pihak Berkuasa Palestin di Ramallah, yang didakwanya hanya berdiam diri ketika peristiwa ini berlaku.
Qassem menambah bahawa mereka yang terus berdiam diri sepanjang konflik ini “akan dipertanggungjawabkan di hadapan Yang Maha Kuasa” kerana gagal bertindak, sambil berkata sikap membisu mereka berterusan di hadapan peperangan yang sedang berlaku di Gaza.
Penterjemah : Norshuhada Samudin